KUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu (SATU) memberi jaminan bekalan air untuk kegunaan ketika perayaan Aidilfitri mencukupi di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, persiapan rapi sudah dilaksanakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bekalan air terputus luar jangkaan.
Menurutnya, terdapat 15 loji rawatan air (LRA) seluruh negeri berkenaan yang mempunyai kapasiti pengeluaran air bersih lebih tinggi iaitu kira-kira 1,030 juta meter padu sehari (MLD).
“Ketika ini kadar penggunaan air di Terengganu sekitar 830 hingga 890 juta meter padu sehari.
“Pada musim perayaan, peningkatan kita dapati lebih kurang sama dengan musim cuti sekolah atau cuti hujung minggu yang panjang yang dijangka berlaku peningkatan sekitar empat peratus.
“Secara keseluruhan, kita ada bekalan yang mencukupi atau rizab sehingga 22 peratus untuk tampung peningkatan penggunaan terutama di beberapa daerah seperti Besut dan Hulu Terengganu,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media dan anak yatim di sini semalam.
Tambah beliau, antara daerah yang mempunyai permintaan tinggi pada musim perayaan ialah Besut dan Hulu Terengganu.
Dalam masa sama, Abdul Karim juga berkata, seramai 80 petugas bersiap sedia bagi menangani gangguan bekalan air sekiranya berlaku di mana-mana tempat.
“Kita juga memohon kebenaran polis untuk pergerakan rakan niaga atau vendor di atas jalan raya jika berlaku kes kecemasan seperti kebocoran paip dan sebagainya,”ujar nya.