Home Berita PAS Terengganu

Aidiladha : 60,000 Kenderaan sehari dijangka penuhi LPT2

11
SHARE

KUALA TERENGGANU, 1 Jun- Peningkatan trafik sehingga 60,000 kenderaan sehari dijangka berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena cuti perayaan Aidiladha ini.

Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan tersebut dijangka berlaku pada hari-hari puncak iaitu pada 5 Jun dan 6 Jun serta 8 Jun hingga 9 Jun.

“Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang pulang ke kampung atau bercuti di Pantai Timur menggunakan Lebuhraya LPT2 dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal pada musim perayaan ini,” ujar kenyataan tersebut.

Katanya, pengguna disaran rancang perjalanan musim perayaan dengan MyPLUS-TTA .

“LPT2 Sdn. Bhd. telah bersiap sedia untuk menguruskan peningkatan trafik di lebuh raya bagi membantu pengguna menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa sepanjang musim perayaan ini.

“Untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak, LPT2 menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal.

“Untuk mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum bagi perjalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di antara 5 Jun hingga 10 Jun 2025 sempena perayaan Aidiladha yang akan datang,” ujarnya.

Oleh itu katanya, LPT2 menyeru orang ramai supaya dapat merancang dan menyusun jadual perjalanan lebih awal berdasarkan cadangan MyPLUS-TTA bagi perjalanan pulang ke kampung halaman pada 5 Jun hingga 7 Jun, malah menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang pada 8 Jun hingga 10 Jun selepas bercuti sempena Aidiladha.

“Inisiatif ini adalah sebahagian usaha LPT2 untuk meningkatkan keselesaan para pengguna lebuh raya semasa musim-musim perayaan berdasarkan data dan pola perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu,” katanya.

Sementara itu katanya, bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik di laluan utama lebuh raya, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya LPT2 bermula 5 Jun hingga 9 Jun 2025 kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal.

“Bagi membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai sepanjang tempoh perayaan Aidiladha kali ini, LPT2 turut mengambil beberapa langkah lain yang merangkumi persediaan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Antaranya menyediakan lebih 300 keseluruhan petugas dalam ekosistem LPT2 terutama di plaza-plaza tol dan pusat pemantauan trafik. Selain itu, LPT2 turut menyediakan lebih daripada 160 anggota RELA untuk membantu melancarkan pengurusan trafik di R&R, hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk keselesaan pengguna.

“LPT2 juga memohon kerjasama orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka dan menggunakan kemudahan tandas dan surau yang turut disediakan di plaza-plaza tol terdekat,” ujarnya.

Pada masa yang sama katanya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di LPT2 menerusi X@lpt2trafik, LPT2Line 1800-88-0220, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen-stesen radio utama negara. Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi navigasi Waze atau Google Maps untuk merancang laluan yang akan digunakan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian LPT2Line di 1800-88-0220 sekiranya ingin mendapatkan  bantuan apabila berlaku kecemasan,” ujarnya.