Oleh : Nur Marlyannah Umar
30 Oktober 2022
LAHAD DATU : Ahli perlu lebih celik berpolitik di musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Urusan Ulama PAS Lahad Datu, Ustaz Mohd Zaki berkata, ianya penting bagi kesinambungan perjuangan PAS yang meletakkan matlamat menegakkan agama Islam hingga berdaulat dengan erti kata sebenar.
“Apatah lagi dalam keadaan PAS membuat taawun siyasi dengan Umno, PPBM dan lain-lain parti dalam gabungan MN dan PN, kesatuan fikrah, cara berfikir dan bertindak mesti selaras dengan apa yang dikehendaki oleh pimpinan parti,” katanya semasa Liqa Fikri PAS Cawangan Aman Jaya di sini, pagi tadi.
Beliau turut menyentuh secara umum konsep pemerintahan Islam, kepentingan dalam memimpin pemimpin negara, dan bagaimana Nabi menegakkan agama dalam berpolitik.
“Kita kalah bukan kuatnya musuh tetapi kerana berpecahnya kita dalam kesatuan umat Islam,”ujarnya yang juga Ketua Cawangan PAS Aman Jaya.
Program yang dihadiri lebih 20 orang ahli itu membincangkan mengenai tajuk ‘Kewajipan Berpolitik’.
Turut hadir dalam program itu, Ketua Pemuda PAS Lahad Datu, Landari Labobo.