KUALA TERENGGANU – Delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi Alam Sekitar, Sains dan Perladangan telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun pada 14 hingga 18 April lepas.
Misi berkenaan bertujuan meninjau pelaksanaan dasar dan teknologi berimpak tinggi dalam bidang sains, inovasi, pengurusan alam sekitar, tenaga boleh baharu serta pertanian moden, di samping memperkukuh kerjasama strategik dua hala antara Malaysia dan Jepun.
Delegasi tersebut diketuai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.
Turut sama Yang Berhormat (YB) Rodiyah Sapiee (Batang Sadong), YB Larry Sng Wei Shien (Julau), YB Dato’ Azman Nasrudin (Padang Serai), dan YB Dato’ Ngeh Koo Ham (Beruas) yang kesemuanya merupakan anggota tetap jawatankuasa.
Menurut Ahmad Amzad, lawatan itu bukan sahaja memperluas jaringan kerjasama dua hala, malah memperkasa kedudukan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang yang responsif terhadap cabaran global.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada semua pihak yang telah menjayakan misi ini dengan penuh dedikasi.
“Terima kasih kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, institusi rakan di Jepun, serta seluruh ahli jawatankuasa yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang lawatan,” ujarnya.
Katanya, segala dapatan diharap dapat dimanfaat sepenuhnya untuk menyumbang kepada dasar negara yang lebih mampan dan berasaskan teknologi masa hadapan.
Sepanjang lima hari lawatan, delegasi menghadiri pelbagai sesi taklimat, lawatan tapak dan perbincangan dasar bersama institusi terkemuka Jepun seperti Council for Science, Technology and Innovation (CSTI), Cabinet Office, Nippon Koei, National Research Institute for Earth Science and Disaster Resilience (NIED) serta National Agriculture and Food Research Organization (NARO).
Antara perkara yang diberi penekanan termasuk inovasi pengurusan bencana, teknologi pertanian pintar, aplikasi kecerdasan buatan (AI), sistem pengangkutan bandar bersepadu serta kaedah mitigasi hakisan melalui teknologi Biological Soil Crust (BSC).
Delegasi turut diberi taklimat berkenaan pelaksanaan konsep Society 5.0 dan teknologi Mobility as a Service (MaaS) yang kini diterajui secara aktif di Sarawak.
Lawatan ini juga membuka ruang interaksi strategik bersama institusi penyelidikan dan agensi pelaksana Jepun, sekaligus mengukuhkan keupayaan Parlimen Malaysia dalam memainkan peranan menyelaras dasar berteraskan sains, inovasi dan kelestarian.