Home Berita PAS Selangor

Ahli Parlimen dan ADUN PAS Tidak Dilibat Urus dalam Proses Perancangan Bandar dan Pendengaran Awam Bantahan Pembinaan Kuil Tanpa Kebenaran Berhampiran Batu 7, Sijangkang

74
SHARE

Sedutan laporan akhbar FREE MALAYSIA TODAY bertarikh 16 Mac 2023 bertajuk “Don’t Build Non-Muslim Houses of Worship Near Mosques” dan kenyataan balas oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan bagi Wilayah Sarawak, YB Abdul Karim Rahman Hamzah dalam akhbar yang sama pada 17 Mac 2023 bertajuk “Nothing Islamic About PAS MP’s Views” adalah tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku di Negeri Selangor.

Portal berita berbahasa Inggeris tersebut telah memetik kenyataan Dato Dr. Ahmad Yunus bin Hairi, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat merangkap ADUN PAS kawasan Sijangkang ketika membahas Bajet Perbekalan KPKT 2023 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
(Kenyataan asal YB Ahli Parlimen Kuala Langat boleh dirujuk dalam handsard rasmi Dewan Rakyat bertarikh pada 16 Mac 2023.)

Antara beberapa isu yang dipetik adalah berkaitan cadangan YB Dato Dr. Ahmad Yunus agar KPKT mengeluarkan garis panduan agar tapak rumah ibadat bagi penduduk tidak dibina dalam satu lot tanah kerana boleh menggugat keharmonian dikalangan penganutnya pada masa akan datang.

Ini adalah rentetan daripada aduan yang diterima dikalangan pengundi di parlimen Kuala Langat iaitu Kampung Sijangkang, Kampung Medan dan Kampung Baru Batu 7 Sijangkang terhadap perancangan Bandar Canary Garden di Klang yang sedang dibina sebuah kuil tiga tingkat tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Isu ini telah mendatangkan keresahan dan kemarahan penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam kerana ianya dibina tanpa kebenaran dan hanya terletak 50 meter dari kediaman penduduk beragama Islam.

Lawatan ke tapak pembinaan oleh pasukan media PAS Selangor juga telah diadakan pada 19 Mac lalu bagi meninjau keadaan dan aduan penduduk kampung.

Wakil penduduk juga telah membuat bantahan bertulis kepada PBT berkenaan isu ini setelah binaan pagar dan perataan jalan utama dari susur jalan Batu 7 dijalankan.

Adalah tidak adil apabila pembinaan ini dibuat tanpa mengambil kira pandangan penduduk tempatan. Malahan, ADUN PAS kawasan Sijangkang juga tidak dilibatkan langsung dalam proses kebenaran dan pendengaran awam oleh PBT berkenaan yang difahamkan akan diadakan pada 24 Mac 2023 ini.

Solusi keharmonian antara agama ini telah lama dipelopori oleh YB Dato Dr. Ahmad Yunus sendiri melalui dialog “Unity Dinner” yang turut dihadiri oleh wakil agama di kawasan Sijangkang.
PAS Selangor sesungguhnya tidak menghalang pembinaan rumah ibadat bukan Islam seperti dilindungi perlembagaan. Namun, kesal dengan cara kerajaan negeri menangani isu ini dan dibimbangi akan menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama di negeri ini khususnya.

Kerana itu PAS Selangor komited menyumbang ke arah pembinaan sebuah masyarakat Islam yang sejahtera dan toleransi di Negeri Selangor Darul Ehsan dibawah pemerintahan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Ketua Agama Islam bagi negeri yang berdaulat ini.

Disediakan oleh:
Aizuddin Hj Zakaria
Pegawai Khas Media
Kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor

Selasa 21 Mac 2023 | 28 Shaaban 1444H