Home Berita PAS Terengganu

Ahli Parlimen Besut bidas PM tangguh kes Yusoff Rawther

11
SHARE

BESUT – Ahli Parlimen Besut merangkap Ketua Portfolio Undang-Undang Blok Pembangkang, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memohon penangguhan perbicaraan kes sivil berkaitan dakwaan serangan seksual terhadap Muhammad Yusoff Rawther.

Menurut beliau, permohonan tersebut menimbulkan persoalan serius terhadap integriti dan ketelusan kepimpinan negara, serta mengundang persepsi berlakunya campur tangan politik dalam institusi kehakiman.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya menjadi teladan dalam menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.

“Tindakan menangguhkan perbicaraan bukan sahaja mencetuskan persepsi negatif, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman yang sepatutnya bebas dan adil,” ujarnya dalam kenyataan media semalam.

Che Mohamad turut menegaskan bahawa langkah tersebut bercanggah dengan semangat reformasi institusi yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri sendiri, selain memberi gambaran seolah-olah wujud layanan istimewa kepada pemimpin berkedudukan tinggi.

Tambah beliau, rakyat Malaysia berhak mendapatkan keadilan melalui proses kehakiman yang telus, serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Perdana Menteri perlu menghormati proses mahkamah dan berhenti daripada terus mencari alasan untuk menangguhkan perbicaraan kes bersama Muhammad Yusoff Rawther ini,” katanya lagi.

Perikatan Nasional, jelas beliau, akan terus memantau rapat perkembangan kes ini dan menyeru institusi kehakiman supaya mempertahankan kebebasan serta integriti sistem perundangan negara daripada sebarang tekanan politik.

Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan prinsip keadilan dan ketelusan dalam sistem kehakiman negara demi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara.