Home Berita PAS Terengganu

Ahli MKT UMNO perlu muhasabah diri

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Lokman Adam perlu bermuhasabah bagi mengelakkan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang naif.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, tindakan Lokman menggelar anak-anak kecil dengan panggilan seekor dan mengaitkannya dengan PASTI adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Mohd Fadhli turut mempersoalkan kenapa Lokman seakan terlalu takut dengan institusi pendidikan awal kanak-kanak itu.

“Tidak sukakah dia (Lokman) apabila PASTI setelah sekian lama melahirkan generasi yang faham agama, baik akhlaknya sejak awal usia dan mampu menjadi pelapis kepada kepimpinan negara.

“Lagipun sudah menjadi tanggungjawab kepada setiap ibu bapa memilih institusi pendidikan yang baik untuk anak-anak, mereka berhak menentukan masa depan mereka.

“Jadi jangan diberikan gambaran yang buruk kepada PASTI yang bukannya baru ditubuhkan, tetapi telah lama bertapak dalam negara sehingga menjadi alternatif kerana selama ini melalui silibusnya dilihat berkesan sewal usia menghafal al-Quran, doa dan juga hadis-hadis,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyempurnakan Pelepasan Program Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Shimano Fellowship, di Dataran Batu Burok, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu itu turut berkata, Pengarah Komunikasi UMNO itu perlu muhasabah diri serta jangan diikutkan sangat kekecewaan sehingga mengeluarkan kenyataan mengarut.

“Insya-Allah saya yakin dan percaya PASTI ini akan tetap menjadi pilihan, apa yang dinyatakan itu hanyalah suara kekecewaannya sahaja yang tidak akan memberi apa-apa kesan.

“PASTI akan terus menjadi pilihan kepada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka menjadi ‘Generasi Rabbani’ yang beriman dan beramal soleh yang akhirnya akan membentuk warganegara yang bertanggungjawab yang akan menjamin keharmonian negara Malaysia yang tercinta ini,” ujarnya.

Terdahulu, Lokman dikecam netizen gara-gara memanggil 4.2 juta orang melayu sebagai bodoh dan menggelar anak-anak kecil sebagai seekor dalam satu program kerajaan Perpaduan di Duyong Marina & Resort kelmarin.