Home Minda Presiden

Ahli kiblat wajib bersatu menentang pengganas bala tentera negara ahzab

175
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 109 / 2023]
AHLI KIBLAT WAJIB BERSATU MENENTANG PENGGANAS BALA TENTERA NEGARA AHZAB


Umat Islam kini sedang menghadapi ujian paling getir dan dahsyat, jika dibandingkan sepanjang perjalanan sejarahnya. Mereka diganyang oleh pengganas bersifat negara besar yang mengadakan suatu Pakatan Ahzab, iaitu barisan bersekutu yang melakukan serangan ganas yang terdiri daripada kalangan Yahudi Zionis dan disertai bala tentera Barat yang diketuai oleh negara kuasa besar.

Amerika Syarikat bersama negara-negara sekutunya Eropah, Great Britain, Perancis, Jerman dan lain-lain yang nyata politiknya dipengaruhi oleh Zionis, dengan membantu Israel dan mereka rela berkorban sepenuhnya walaupun ia merosakkan ekonomi negara sendiri. Antaranya, dengan menghantar segala jenis senjata, termasuk senjata yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa, serta bantuan kewangan bagi menampung krisis ekonomi negara haram Israel yang mereka pertahankan.

Sasarannya ialah Palestin dan khususnya Gaza yang dikuasai Hamas (Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah). Serangan yang paling bacul dilakukan apabila mereka bertindak membunuh kanak-kanak, kaum wanita, dan warga tua. Dalam pada itu, mereka turut menyerang kawasan kediaman dan penempatan awam, termasuk hospital, sekolah, rumah ibadat (masjid dan gereja) dan khemah penempatan sementara, termasuk kawasan perkuburan. Semua itu dilakukan tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa dan kesalahan jenayah perang, serta bantahan rakyatnya yang tidak dapat menahan perasaan perikemanusiaan.

Segala keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula dibatalkan oleh kuasa veto (pembatal) yang menjadi hak negara kuasa besar yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang tidak boleh dipertikaikan.

Sasaran serangannya ialah wilayah Gaza yang luasnya hanya beberapa puluh kilometer persegi sahaja. Kawasan yang dikuasai oleh Hamas yang mendapat kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum Palestin secara demokrasi, tetapi dihalang daripada menubuhkan  kerajaannya dan terpaksa bertahan di wilayah Gaza yang dikepung menjadi penjara yang disekat daripada segala kemudahan.

Justeru, Hamas mengambil langkah dengan melakukan Operasi Taufan al-Aqsa terhadap tindakan melampau Zionis menceroboh Masjid al-Aqsa dan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang mempertahankan diri dan rumah kediaman yang dirampas oleh pendatang Yahudi, setelah tanah airnya dirompak, dengan senjata yang tidak setaraf dengan kekuatan tentera Israel yang terkuat. Tiba-tiba serangan itu dapat menembusi pertahanan Israel yang dikatakan paling kuat dan tidak mungkin dapat dikalahkan.

Ramai dalam kalangan tentera Israel terbunuh, cedera dan ditawan, malah banyak kenderaan berperisai dan kereta kebal telah dimusnahkan. Keadaan ini mengejutkan seluruh dunia, khususnya negara-negara besar yang menjadikan Israel barisan depannya dalam menghadapi dunia Islam.

Semua kuasa besar yang menjajah itu menempa keganasan yang mengerikan dalam sejarah masing-masing. Mereka meneroka benua Amerika dengan bala tentera daripada kalangan penjenayah dan banduan ganas yang dikeluarkan dari negaranya, datang membunuh penduduk asli di benua Amerika, Australia, New Zealand dan lain-lain. Mereka menawan rakyat tanah jajahan di Asia dan Afrika dan dijual seperti menjual binatang.

Penjajah Perancis pula membunuh berjuta rakyat Algeria, dan begitulah juga penjajah Belanda dan lain-lain bangsa Eropah yang menjajah. Namun, mereka mendabik dada kononnya menjadi pejuang hak asasi manusia, kebebasan, kemerdekaan, demokrasi dan banyak lagi slogannya.

Kini, mereka menunjukkan sifat asalnya yang ganas bersama kaum Yahudi pembunuh para anbiya’ yang dilaknat oleh Allah. Sebaliknya, Islam menjadi sasaran dan penganutnya yang berjuang menegakkan Islam kembali semula dilabelkan sebagai pengganas, pelampau dan berbagai-bagai lagi gelaran.

Sehinggakan, keadaan ini menyebarkan Islamofobia dalam masyarakatnya. Sekalipun telah mengambil pendekatan demokrasi yang aman dan damai, namun ia tetap diharamkan sekiranya demokrasi itu berpihak kepada Islam.

Apa yang berlaku kini merupakan ujian kepada umat Islam pada akhir zaman sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam ayat-ayat al-Quran yang berulang kali disebutkan. Antaranya, firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣﴾

“Alif lam mim. (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (begitu sahaja) mengatakan, ‘Kami telah beriman’, sedang mereka belum lagi diuji? (2) Dan sesungguhnya, kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar; dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1-3]

Allah telah menguji umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dengan kedatangan bala tentera Ahzab bersekutu daripada kalangan Musyrikin dan kaum Yahudi, yang telah diwahyukan peristiwanya supaya ia menjadi pengajaran yang berkekalan. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kamu ketika datang kepada kamu tentera-tentera, lalu Kami mengirimkan kepada mereka berupa angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepada kamu dari atas dan dari bawah kamu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan (kamu) dan hati kamu naik menyesak sampai ke kerongkongan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11)” [Surah al-Ahzab: 9-11]

Rasulullah SAW mengumpulkan seluruh penduduk Madinah bagi menghadapi musuh yang besar itu, sehingga ia menjadi suatu ujian besar kepada orang-orang yang beriman dan menyingkirkan kumpulan munafiq.

Para ulama’ mengumpulkan semua penganut Islam dengan jenama Ahli Kiblat, merangkumi semua penganut Islam daripada semua mazhab iaitu Sunni, Syiah, Khawarij dan lain-lain. Mereka ialah golongan yang terus menghadap ke arah Baitullah (Kaabah) di Makkah dalam solatnya dan menunaikan hajinya, mereka semua ialah penganut Islam, selagi tidak melakukan perkara yang nyata berpaling daripada kiblatnya, walaupun melakukan bidaah dan dosa yang besar.

Adapun semua yang berjenama Islam tetap menjadi sasaran bala tentera Ahzab tanpa memilih mazhab, bangsa mahupun negaranya. Demikianlah golongan yang dinamakan Ahli Kiblat. Inilah sepakat para ulama’ muktabar yang beristiqamah sepanjang zaman semuanya dianggap umat Islam, melainkan para ulama’ kerajaan terkini yang politiknya berkiblatkan ke arah White House (Rumah Putih) di Washington yang masih mempertikaikan mazhab dalam keadaan musuh itu membelasah umat Islam tanpa mengira mazhab dan bangsanya.

Majma‘ al-Buhus al-Islamiyyah di bawah kelolaan al-Azhar di Mesir meletakkan semua mazhab itu masih berpegang kepada rukun Islam, dan dimasukkan dalam senarai kandungan Ensiklopedia Islam yang menjadi perbincangan hukum Islam dalam kitab-kitab muktabar Mazhab Sunni.

Para ulama’ yang bersidang di bawah tajaan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah mengisytiharkan mazhab yang mempunyai kitab-kitab rujukan sehingga kini daripada kalangan Sunni ialah mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali, Zahiri. Manakala daripada kalangan Syiah pula ialah mazhab Imamiyyah dan Zaidiyyah, adapun daripada kalangan Khawarij ialah Ibadiah, namun mereka menafikan sifat Khawarij kerana telah difitnah menentang kerajaan yang zalim. Semuanya merupakan mazhab yang masih ramai pengikut dalam dunia Islam dan pandangan ini disebutkan dalam kitab-kitab perbandingan mazhab. Semua pengikutnya ialah Ahli Kiblat dan bersatu dalam menentang penjajah.

Generasi awal para ulama’ semua mazhab itu bersatu dalam satu umat kiblat yang tidak berpecah belah dalam perkara khilaf. Para imam bagi mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan lain-lain dipenjarakan dan dihukum kerana membela para imam Ahli al-Bait (Syiah) yang dizalimi oleh khalifah-khalifah yang zalim pada zaman masing-masing. Mereka bersatu menentang musuh Islam dan menentang kezaliman pada zaman masing-masing.

Pada tanggal 27 Rajab 1350 bersamaan 7 Disember 1931 telah diadakan Muktamar Islam di Bait al-Maqdis menepati Peristiwa Israk dan Mikraj. Persidangan itu ditaja oleh Syeikh Muhammad Amin al-Husaini (Mufti Palestin), Abdul Aziz al-Tha‘alibi (Tunisia), Shaukat Ali (India) dan beberapa tokoh ulama’ besar daripada kalangan mazhab Syiah dan Ibadi pada masa itu turut menghadirinya. Malah, turut menghimpunkan para ulama’ dan para pejuang Islam dari negara Arab, Iran, India, Indonesia, Malaysia, Afrika dan Eropah dan lain-lain, daripada semua mazhab bagi menentang penubuhan negara haram Israel.

Akhirnya, negara bernama Israel ditubuhkan juga pada tahun 1948 dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin. Ada dua buah negara Islam ketika itu mengiktiraf negara haram Israel, iaitu Turkiye sebuah negara Sunni di bawah Presiden Kamal Ataturk dan Iran negara Syiah di bawah Shah Iran. Sebahagian negara Arab dan Islam tidak berani mengiktiraf negara haram Israel kerana tentangan rakyat dan umat Islam.

Pada tahun 1948 berlaku perang menentang penubuhan negara haram itu oleh rakyat daripada kalangan semua bangsa dan umat Islam, tetapi ia menemui kegagalan kerana kelemahan kerajaan masing-masing selepas kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah. Namun, ditubuhkan gerakan Islam atas nama parti Islam dan jemaah Islam di semua negara, berjuang untuk mengembalikan semula kedaulatan umat. Ramai kalangan pemimpinnya menjadi mangsa kezaliman kerajaan masing-masing, sama ada di negara Sunni atau Syiah.

Tiba-tiba, berlaku Revolusi Islam di Iran 1979 yang menjatuhkan Kerajaan Shah yang pro Barat bersama Israel. Iran ditukar kepada nama Republik Islam Iran dan pemimpinnya iaitu Imam Khomeini RH terus mengisytiharkan haramnya negara Israel dan mengajak umat Islam bersatu bagi menentang Israel dan Amerika Syarikat yang menjadi syaitan besar yang melindunginya.

Amerika Syarikat dan sekutunya berjaya mempengaruhi beberapa buah negara Arab dan Islam bagi menentang Iran atas semangat Mazhab Syiah yang dihukum sesat dan keluar daripada Islam dan atas nama Iran kembali semula kepada negara Majusi. Tuduhan tersebut didukung oleh para ulama’ yang dipergunakan oleh kerajaan masing-masing dengan nasihat tokoh-tokoh politik Amerika Syarikat.

Sehinggakan, menyebabkan berlakunya dua Perang Teluk yang menyerang Iran dengan sokongan negara Arab dan Perang Teluk Kedua yang menyerang Iraq kerana berpaling tadah menentang Amerika dan Israel. Dalam kedua-dua perang tersebut umat negara Arab dan Islam berjaya dicatur bagi menyelamatkan Israel yang tidak mampu dipertahankan oleh pangkalan tentera bersekutu, lalu dilakukan perang proksi di beberapa negara Arab dengan senjata musuh dan duit rakyat negara yang berperang kerana mazhab dan bangsa yang berbeza.

Dalam masa beberapa tahun, Republik Islam Iran berjaya mencapai kemajuan teknologi tinggi yang mampu mencabar kuasa Barat walaupun dihalang dengan kepungan politik, ekonomi, media dan membunuh saintis dengan bantuan beberapa negara.

Gerakan membantu Palestin terus dilaksanakan sehingga para pejuang Palestin Islam berjaya membina kekuatannya dengan bantuan Republik Islam Iran sehingga dapat mencabar Israel dan negara sekutunya. Semua kumpulan Islam Palestin yang terbesar (Hamas, Tanzim Jihad dan lain-lain) bermazhab Sunni. Di samping adanya kumpulan Hizbullah dan Ansarullah yang bermazhab Syiah. Kini, semuanya bersatu menentang Israel dan negara sekutunya.

Kini, dijadikan alasan atau dalil menolak jihad menentang Zionis dengan isu adanya sokongan negara dan kumpulan mazhab Syiah. Hal ini dijadikan hujah oleh kalangan mereka yang politiknya menghadap ke arah White House (Rumah Putih) di Washington, bukannya ke arah Baitullah (Kaabah Rumah Allah) yang menjadi kiblat semua mazhab yang disebutkan di atas dalam semua urusan dunia dan akhirat. Oleh itu, disebabkan anutan fahaman yang memisahkan politik daripada agama, maka kiblat solatnya ke arah Makkah, tetapi kiblat politiknya ke arah Washington.

Apabila datangnya bala tentera Ahzab menyerang Madinah, Rasulullah SAW mengerahkan semua penduduk Madinah dalam kalangan Islam termasuk kaki maksiat, tidak disiasat munafiqnya, termasuk kalangan Yahudi yang masih bertahaluf, dan menerima kalangan Musyrikin yang menyokongnya.

Para ulama’ semua mazhab menyatakan fardu ‘ain ke atas setiap penganut Islam berjuang, apabila musuh sudah datang menyerang dan menceroboh. Lebih nyata lagi apabila berdepan dengan Yahudi, musuh yang paling zalim terhadap umat Islam. Firman Allah SWT:

﴿۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ٨٢﴾

“Sesungguhnya, kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan sesungguhnya, kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata, ‘Sesungguhnya, kami ini orang Nasrani’. Yang demikian itu disebabkan antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.” [Surah al-Ma’idah: 86]

Kini, muncul negara Amerika Latin yang beragama Kristian memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel kerana menentang keganasan yang melampau terhadap Gaza. Malangnya, masih ada kalangan negara Islam melakukan normalisasi dengan Israel, walaupun telah melakukan kezaliman paling melampau bersama sekutunya, alasannya tidak mahu bersama Iran Syiah, tetapi bersama raja syaitan dan bala tentera Ahzabnya.

Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah, Ansarullah, serta kumpulan bersamanya berperang mengikut hukum Islam yang berpandukan firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Diharamkan melampau dalam peperangan, maka diserang sasaran tentera sahaja dan kawasan penempatan Yahudi yang bersifat tentera. Maka, tidak diserang kawasan awam. Bahkan, diberikan layanan bersifat kemanusiaan kepada tawanan, sehingga dipuji oleh tawanan yang telah dibebaskan. Maka, mereka tidak layak dinamakan dengan jenama pengganas.

Sepatutnya jenama pengganas diletakkan kepada Israel dan negara sekutunya yang benar-benar melampau sehingga puluhan ribu orang awam dibunuh dan dua pertiga daripadanya merupakan kanak kanak, wanita, warga tua dan pesakit di hospital. Sehingga kawasan perkuburan juga dibongkar dengan serangan udara dan jentolak.

Maka, tidak ada alasan dan dalil untuk mempertikaikan Hamas dan kumpulan bersamanya adalah pejuang yang sebenar bukannya pengganas. Maka, sangat zalim mereka yang memfitnah dan tidak menyokong perjuangannya yang mulia.

Bacalah dan fahamilah firman Allah SWT:

﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ  ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣﴾

“Maka, tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112-113]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 11 Jumada al-Akhirah 1445 / 24 Disember 2023