Oleh : Siti Nadirah Shasha
22 April 2023
KOTA KINABALU: PAS Sepanggar telah menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Dan Iftar Perdana di SMITI Al-Hafidz Kota Kinabalu, di sini Ahad lalu.
Yang Dipertua PAS kawasan, Dr Aliakbar Gulasan berkata, ahli dan pendukung PAS Sepanggar berperanan sebagai tulang belakang dalam masyarakat.
“Dalam susah dan senang, kerja dakwah dan kebajikan, gerak kerja pilihan raya semuanya akan kita teguhkan bersama.
“Yakinlah bahawa perjuangan inilah yang terbaik. Tiada perjuangan lain yang setanding,” kata Dr Aliakbar ketika merasmikan majlis.
Beliau menyatakan bahawa, bagi mendidik masyarakat bermula sejak lahir, PAS mempunyai nurseri iaitu TASTI.
Kemudian bermula umur 4 tahun pula, PAS mempunyai pusat pendidikan pra-sekolah iaitu PASTI.
“Begitu juga sekolah rendah, kita ada SRITI manakala sekolah menengah pula SMITI. Pakej lengkap disediakan untuk anak-anak Sabah dalam sektor pendidikan.
“Yang menjadi misi utama adalah melahirkan generasi yang ‘sedar diri’ bahawa dunia ini sementara,” ujarnya.
Oleh itu, beliau mengingatkan ahli agar tunduk dan bersujudlah kepada Allah SWT di mana dan dalam apa juga urusan.
Dr Aliakbar juga berharap dan yakin PAS Sepanggar akan terus membimbing ummah.
“Semoga Allah perlihara ukhuwah ini dan menjadikan kita semua insan yang bertakwa,” katanya.
Dalam majlis itu juga, seramai 718 orang murid PASTI Sepanggar telah menerima duit raya hasil sumbangan orang ramai.
PASTI Sabah turut menerima sumbangan bernilai RM7 Ribu daripada NGO Papisma.
Turut hadir, Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat PAS Kawasan, Ah Rizal Latif dan Ummu Ahnaf Abu, Ibubapa SMITI serta guru -guru PASTI Sepanggar.