Home Berita PAS Terengganu

Ahad diangkat sebagai Hari Batik Terengganu

13
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri mengisytiharkan bahawa Ahad akan dikenali sebagai hari batik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, untuk fasa pertama pihaknya mengalakkan penjawat awam, pekerja swasta, usahawan dan mereka yang bekerja sendiri untuk memakai batik.

Katanya, ia merupakan inisiatif bagi memajukan kembali industri Batik Terengganu.

“Bagi mengangkat kembali Batik Terengganu yang saya fikir industrinya kini malap kerana kemasukan batik dari Pakistan, India dan sebagainya.

“Fasa pertama ini kita galakkan dahulu rakyat Terengganu pakai batik, untuk fasa kedua kita tengok bagaiamana nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Majlis Perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM), di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Razali berkata adalah diharapkan dengan menjadikan hari Ahad sebagai hari batik ia menjadi medium promosi kepada penghasilan Batik Terengganu yang selama ini merupakan salah satu produk bermutu tinggi dan berkualiti.

“Kita pilih Ahad kerana ia merupakan hari cuti bagi pelancong dari luar Terengganu, jadi apabila mereka hadir melihat rakyat negeri ini ramai memakai batik jadi dengan sendirinya tertarik dan ada keinginan untuk membelinya,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pihaknya akan berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri untuk membantu pengusaha.

“Kita sarankan kepada pengusaha buat yang ‘simple sahaja’ tidak payah buat semak-semak (banyak corak) supaya dapat dijual dengan murah dan dapat dimiliki oleh semua orang termasuk golongan B40,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, dengan memperkenalkan Ahad sebagai hari batik di negeri ini tidak akan mengubah arahan Kerajaan Malaysia mengenai kewajipan memakai batik pada setiap Khamis sepertimana  yang telah diarahkan.