KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin memaklumkan bahawa beliau telah menerima aduan daripada penduduk di kawasannya yang menghadapi kesukaran untuk menjalankan urusan perniagaan secara langsung di media sosial seperti TikTok.
Menurutnya, keadaan ini berlaku kerana rangkaian internet di kawasan tersebut masih lemah, sekali gus menyukarkan penduduk untuk memanfaatkan platform digital yang kini bukan lagi dianggap sebagai kemudahan tambahan, tetapi satu keperluan asas dalam aspek pendidikan, ekonomi dan komunikasi harian.
“Sehubungan itu, saya mendesak agar pemancar tambahan dibina segera di kawasan-kawasan yang masih berstatus ‘kelabu’ dan ‘gelap’ dari segi liputan internet.
“Kerajaan negeri juga perlu memperkemaskan kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) agar semua kampung menerima liputan internet yang kukuh dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucapan Perbahasan Titah Diraja dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri Terengganu tidak sepatutnya membiarkan rakyat terus ketinggalan dalam era digital yang serba mencabar ini.
“Isu liputan telekomunikasi ini menjadi antara rungutan utama rakyat. Keadaan internet yang masih lemah menyebabkan terdapat pelajar yang terpaksa keluar rumah dan pergi ke kawasan yang jauh semata-mata untuk mengikuti kelas dalam talian seperti Google Meet,” ujarnya.