Home Berita PAS Terengganu

ADUN Terengganu harap PM lunas bayaran Petroleum

4
SHARE

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berharap agar Perdana Menteri dilembutkan hati untuk melunaskan baki bayaran Dana Khas Petroleum (wang ehsan) yang belum diterima kerajaan Terengganu.

Katanya, beliau berdoa agar baki RM1.096 bilion dapat dilunaskan pembayarannya sebagaimana tahun-tahun terdahulu.

“Berbanding tahun lepas, ini merupakan yang terendah kerana jumlah terimaan belum sampai satu per tiga daripada jumlah sebenar.

“Sesuatu yang berat untuk Terengganu menguruskan negeri dalam keadaan ini, dengan harga minyak sekarang Terengganu patut dapat banyak.

“Kita sedia maklum, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang yang berkata akan berlaku adil dengan hak-hak negeri dan memberi peruntukan sama kepada pembangkang, itu kata-kata beliau sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri dahulu, dan kita harap ia dikotakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, sebagai langkah ke hadapan, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata kerajaan Terengganu akan berusaha mengurangkan kebergantungan kepada Dana Khas Petroleum.

Ujarnya ia bagi memastikan perancangan dan pembangunan negeri dapat berjalan lancar pada masa depan.

“Ketika ini kerajaan negeri perlu lebih berhati-hati dengan berjimat-cermat dalam menguruskan negeri.

“Apabila kita dapat jumlah yang kurang, ia memang agak membantutkan perancangan dan pembangunan, tetapi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi perkembangan positif supaya kita tidak panik dengan perkara ini dan berdoa mudah-mudahan ia dapat diselesaikan segera.

“Beberapa sektor disebut beliau untuk mendapatkan pendapatan antaranya cukai pelancongan, cukai-cukai melalui pihak berkuasa tempatan dan tanah yang tidak menjejaskan rakyat, tetapi dikenakan kepada pihak-pihak yang membuat keuntungan untuk meningkatkan sedikit pendapatan negeri.

“Dr. Samsuri juga berpesan supaya kenaikan yang dilaksanakan bukan melibatkan umum iaitu rakyat,” jelas ADUN Kota Putera itu ketika mengulas terimaan Dana Khas Petroleum tahun ini yang merupakan jumlah terendah diterima sejak 2018.

Menurut Nurkhuzaini, pengertian yang didefinisi oleh Menteri Besar dalam pendapatan baharu ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan dan ia membawa maksud yang besar.

“Ini portfolio yang agak mencabar bagi saya kerana untuk mengurangkan kebergantungan bermaksud, kita perlu mencapai sekurang-kurangnya separuh pengurangan kebergantungan.

“Ia agak baru dan saya kena sinergikan. Jadi, sekarang saya sedang mengadakan beberapa sesi ‘brainstorming’ dengan pakar-pakar untuk kita optimumkan pendapatan kita dalam pelbagai sektor.

“Hendak kata terlalu bercita-cita tidak juga, tetapi ia agak beratlah kerana asaran kita untuk 2024 ini ialah untuk meningkatkan lebih kurang RM500 juta, sekitar satu per tiga daripada nilai Dana Khas Petroleum yang patut diterima tahun ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa penambahbaikan akan diwujudkan dalam portfolio Teknologi Hijau dan Ekonomi Digital disamping meneruskan pelaksanaan sedia ada sebelum ini.

“Kita akan wujudkan beberapa dasar baru seiring dengan matlamat negeri dan pada awal tahun depan kita akan umumkan beberapa langkah khususnya bagi ekonomi digital dan teknologi hijau ini,” ujarnya.