Home Berita PAS Pahang

Adun Tahan lawat sekeluarga malang

502
SHARE

JERANTUT:  Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya itulah perumpamaan yang sesuai kepada pasangan Ahmad Zainudin dan Puan Siti Nor Zurain di Perumahan Banjir Kuala Teh.

 

Anak ketiga pasangan ini iaitu Adik Siti Nurjannah Humaira, 7 bulan, menghidapi penyakit Sindrom Vacterl yang menyebabkan jantung berlubang, masalah paru-paru kronik, saiz tulang rusuk dan tulang belakang tidak sekata, tiada tulang paha kanan, tulang paha kiri terlalu pendek, kaki bengkok, jari tangan tidak normal dan sumbing lelangit sejak lahir.

 

Lebih menyedihkan apabila bayi berkenaan terpaksa bergantung kepada bantuan oksigen untuk bernafas selain minum susu khas yang diberi melalui tiub.

 

Dalam lawatan Adun Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin di rumahnya ibu bayi terbabit, Siti Nur Zurain Fatima Ab Razak, 30, berkata, sebaik Siti Nur Jannah dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, bayinya telah ditempatkan di ‘neonatal intensive care unit’ (NICU) selama empat bulan sebelum dipindahkan ke wad biasa selama dua bulan.

 

Menurutnya, setelah enam bulan barulah doktor membenarkan anak bongsu dari tiga beradik itu pulang ke rumah namun memerlukan rawatan lanjut dan perhatian yang rapi.

 

“Sepanjang saya mengandungkan Jannah tidak timbul sebarang masalah malah sewaktu ‘scan’ perut pun doktor maklumkan bayi saya normal.

 

“Namun sebaik dilahirkan, saya dimaklumkan oleh doktor mengenai masalah yang dihidapi oleh Jannah. Biarpun sedih tapi saya reda dengan ujian dari ALLAH dan berjanji akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya.

 

Sempena kunjungan itu Mohd Zakhwan yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Jerantut, turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga bayi malang tersebut.

 

Siti Nur Zurain berkata, selain Siti Nur Jannah yang menghidap pelbagai penyakit, anak sulungnya, Ahmad Adi Putra, 9, juga menghidapi penyakit jantung berlubang dari kecil dan telah menjalani dua kali pembedahan bagi menutup lubang jantung iaitu ketika berusia tiga bulan dan tiga tahun..

 

Jelasnya, lebih sukar lagi apabila suaminya, Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 44, turut disahkan mengalami masalah saraf tulang belakang bermula tahun lepas yang menyebabkannya tidak mampu  melakukan kerja-kerja berat.

 

“Suami hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa, ditambah dengan penyakit saraf tulang belakang yang dihidapi menyebabkan pergerakannya agak terbatas.

 

“Perbelanjaan yang besar terpaksa ditanggung kami termasuk membeli susu khas Jannah yang berharga RM80 setin, perbelanjaan persekolahan dua anak serta kos ulang-alik membawa anak sulung serta bongsu ke Hoshas dan Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.

 

“Saya juga merancang untuk beli sendiri tabung oksigen untuk kegunaan Jannah namun difahamkan harganya agak mahal ditambah dengan kekangan sumber kewangan. Buat masa sekarang unit kebajikan Hoshas Temerloh meminjamkan buat sementara waktu tong oksigen untuk kegunaan anak saya,” katanya.

 

Dalam pada itu Zakhwan menyeru kepada yang prihatin dan ingin membantu keluarga ini bersempena dengan 10 terakhir Ramadhan yang Allah Taala gandakan segala sedekah dan kebaikan, bolehlah menyalurkan sumbangan ke Akaun Bank Islam Malaysia Berhad yang bernombor (06 0550 2034 4689) atas nama Puan Siti Nor Zurain Fatim bt. Ab Razak atau mengbubungi Puan Siti Nor Zurain ditalian 013-946 4473.

 

“Hari ini kita membantu mereka, mana tahu satu hari nanti kita pula perlukan bantuan orang lain,” ujarnya.