KUANTAN: Seorang warga emas Mek Wok Ali, 80, kini boleh menguntum senyum tambah-tambah menjelang Ramadan dan Eidulfitri ini apabila rumah yang diidam-idamkannya siap sepenuhnya dan boleh diduduki.
Semalam, diadakan majlis penyerahan kunci rumah oleh Adun Beserah Andansura Rabu di di Kampung Baru Beserah, di sini.
Sebelum ini sebuah akhbar menyiarkan, kerunsingan dan keresahan Mek Wok bahawa rumah didiami sejak dua tahun lalu itu berkemungkinan runtuh pada bila-bila masa sahaja.
Ini disebabkan kesempitan hidup, dia dan anak perempuannya terpaksa berteduh di rumah tersebut walaupun dindingnya berlubang dan reput.
PAS Indera Mahkota tidak mengambil masa yang lama bergotong-royong menyiapkan rumah tersebut.
Mek Wok memiliki empat anak, bagaimanapun warga emas itu tidak pernah meminta pertolongan daripada anak-anaknya kerana memahami keadaan mereka yang turut hidup dalam kemiskinan.
Warga emas itu dan anaknya yang berusia 50 tahun dan tidak bekerja tetap, bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wang zakat RM200 untuk meneruskan hidup.
Mek Goh berkata, mereka berdua menjalani kehidupan secara sederhana dan dia mengakui tidak pernah berlapar kerana wang bantuan diterima, digunakan dengan sebaiknya.
Selain itu, dia turut menerima bantuan berupa makanan daripada penduduk dan Adun PAS.