Home Berita PAS Pahang

Adun PAS sambut baik keputusan penurunan kuasa urusan tanah

588
SHARE
Andan (kiri) dan Mujib (kanan) bersama zaujah masing-masing di hadapan Dewan Undangan Negeri Pahang baru-baru ini

 

Akhirnya masalah pemilikan tanah yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada rakyat negeri ini yang dikekang dengan pelbagai akta dan birokrasi, dapat diselesaikan dengan pengumuman Menteri Besar Pahang yang menurunkan kuasa pihak berkuasa negeri (PBN) kepada Pentadbir Tanah dan Pendaftar Daerah, berkuat kuasa serta-merta.

 

Perkembangan baharu ini sekali gus disambut rakyat dengan menarik nafas lega.

 

Isu ini juga pernah dibangkitkan oleh Adun PAS Beserah Andansura Rabu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

 

 

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat PBN bagi memendekkan masa serta memudahkan urusan mendapatkan kelulusan pindah milik, gadaian dan pajakan tanah rakyat negeri ini. Katanya, penurunan kuasa ini termaktub di bawah bidang permohonan kebenaran pindah milik dan gadaian bagi tujuan suami isteri, anak-beranak, waris kadim dan bukan waris kadim.

 

“Semua permohonan tersebut sama ada hak milik Pejabat Tanah atau hak milik Pejabat  Pendaftar hendaklah dikemukakan di Pejabat Tanah dan dipertimbangkan oleh Pentadbir Tanah. Keputusan bagi permohonan yang lengkap akan dikeluarkan dalam tempoh sehari atau dua hari bekerja.

 

“Begitu juga bagi permohonan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah sama ada individu atau syarikat dalam kategori Melayu kepada Melayu, bukan Melayu kepada bukan Melayu dan bukan Melayu kepada Melayu diturunkan dari Kuasa PBN kepada Pendaftar atau Pengarah PTG bagi hak milik Pejabat Pendaftar dan Pentadbir Tanah atau Penolong Pentadbir Tanah bagi hak milik Pejabat Tanah.

 

“Keputusan akan dikeluarkan dalam tempoh 10 hari bekerja sekiranya dokumentasi permohonan, telah lengkap. Perlu diingat ia hanya bersabit urusan bagi tanah yang sudah mempunyai geran milikan sahaja,” katanya pada sidang media di Wisma Pahang, Jalan Gambut di sini, pagi tadi.

 

Wan Rosdy berkata, pindah kuasa atau penurunan kuasa ini diharapkan dapat memanfaatkan dan memudahkan rakyat dalam urusan tersebut.

 

Menurutnya, hal ini berbeza dengan cara lama yang mana pemohon perlu memohon kepada Pejabat Tanah kemudian Pejabat Tanah perlu kemukakan kepada Pejabat Tanah Galian (PTG) dan seterusnya dihantar ke Pejabat Menteri Besar untuk dipertimbangkan.

 

“Perkara tersebut menyebabkan tempoh permohonan menjadi terlalu lama sehingga berbulan-bulan. Kekangan dari segi sumber manusia juga menyumbang kepada kelewatan ini berbanding dengan pertambahan permohonan pemilikan tanah dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Sebelum ini bukan sahaja rakyat, malah, dikatakan para peguam juga dikatakan merungut akibat kelewatan proses penukaran dan pemilikan tanah. “…. payah nak cari makan,” kata mereka.

 

Sementara itu, dua wakil rakyat PAS menyambut baik keputusan tersebut. Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, tindakan tersebut tepat bagi memudahkan serta memendekkan masa dalam proses melibatkan urusan rakyat.

 

 

Menurutnya, selain menghapuskan karenah birokrasi, langkah ini menambahkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.

 

“Cuma pihak kerajaan perlu memastikan status tanah seperti rezab Melayu, rezab hutan, paya dan lain-lain tidak dengan semudahnya dipindah milikan,” katanya kepada media.

 

Bagi Adun Chenor, Mujibur Rahman Ishak pula berkata, keputusan tersebut atas kepentingan rakyat untuk memudahkan urusan mereka.

 

“Kelulusan dan penurunan kuasa seperti ini menampakkan kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan rakyat kerana urusan tanah antara masalah  yang paling banyak rungutan  didengar oleh wakil rakyat setempat khususnya di daerah Maran ini.

 

“Kita tidak mahu kebenaran pindah milik tanah rakyat yang hanya sekangkang kera ini terlalu sukar. Kelewatan urusan pindah milik tanah ini bukan sahaja memberikan kesan kepada pemilik dan penerima tanah tetapi juga urusan yang melibatkan firma guaman dan sebagainya, yang berkaitan perkara ini.

 

“Apa yang penting semua pihak senang berurusan dan urus niaga dapat disempurnakan sebaiknya,” katanya.