Home Berita PAS Pahang

ADUN PAS bantu tunggak keluarga pesakit buah pinggang

663
SHARE

KUANTAN: Penderitaan sebuah keluarga mendapat perhatian Adun Beserah, Andansura Rabu apabila beliau tampil melawat keluarga Razali Manap, 53, yang menderitai penyakit buah pinggang sambil menyampaikan sumbangan.

Dalam lawatan tersebut isteri Razali, Sarifah Samat, 40, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah sejak empat bulan lalu, selepas doktor dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan kedua-dua buah pinggang suaminya, gagal berfungsi.

Menurutnya, kejadian menimpa suaminya secara tiba-tiba amat mengejutkan kerana pada mulanya hanya menyangka sakit disebabkan penyakit kencing manis kronik dialami.

Luluh hatinya apabila melihat suami yang dahulunya ceria, sihat dan mampu menyara kehidupan keluarga kini hanya terlantar selepas disahkan mengidap sakit buah pinggang kronik tahap empat.

“Tak ada tanda-tanda pun suami sakit buah pinggang. Tiga empat bulan lalu suami ada sakit teruk dan terus dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Saya agak terperanjat bila doktor sah buah pinggang suami tak berfungsi dan kini terpaksa jalani dialisis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato Rashid di sini.

Sarifah mengakui kehidupannya bertambah sukar apabila suami yang merupakan pencari nafkah tunggal tiada lagi kudrat untuk bekerja.

Katanya, rumah sewa yang didiaminya mereka sudah beberapa bulan tidak berbayar, malah bil utiliti seperti air dan elektrik turut tertunggak.

Jelasnya, dia bukan tidak mahu bekerja, sebaliknya terpaksa menjaga enam anaknya yang berusia 13 tahun hingga setahun dan suaminya pula memerlukan pemantauan serta terpaksa dibantu untuk bergerak.

Anak-anak mereka ialah Nurfarah Husna, 13; Nur Farah Waheeda, 11; Muhammad Haikal Hakimi bin Razali, 9; Nur Farah Tasha Nabila, 5; Muhammad Zulkarnain Iskandar,3; dan Muhammad Aidil Mikail,setahun dua bulan

“Saya bukan tak nak bayar, tapi tak ada duit nak bayar, suami saya kerja sendiri, jadi kalau dia bekerja baru dapat duit. Bila dah macam ini (sakit) duit pun tak ada. Kalau saya kerja siapa nak jaga anak-anak saya ni.

“Sepanjang empat hingga lima bulan ini kehidupan kami bergantung kepada ihsan orang ramai. Warga Kuantan banyak meringankan beban kami sekeluarga dan Alhamdulillah ALLAH permudahkan,” katanya.

Sarifah turut meminta orang ramai agar dapat menyumbangkan kerusi roda bagi memudahkan dia menguruskan suami.

Sementara itu Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang menyeru orang ramai agar turut ringan membantu keluarga yang dalam kedaifan ini.

Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan sama ada kerusi roda, pakai lampin buang dan susu boleh menghubungi Sarifah di talian 016-9510306 atau menderma melalui akaun milik dirinya.

Andan bersama rombongan menziarah Razali yang terlantar menderita sakit buah pinggang tahap 4