Home Berita PAS Perlis

ADUN, NGO serah sumbangan kepada asnaf

43
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 19 Sept: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli bersama-sama dengan NGO Muslim Care Malaysia telah mengadakan majlis penyerahan sumbangan kepada keluarga asnaf semalam.

Program turut disertai beberapa orang pegawai dan anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis serta krew daripada RTM Perlis.

Sebanyak 15 buah keluarga di Kampung Simpang Sanglang dekat sini menerima sumbangan berupa keperluan dapur dan telekung solat.

Menurut Mohd. Shukri, kesemua mereka merupakan penduduk yang telah dikenalpasti amat memerlukan bantuan.

“Tidak dapat dinafikan, pandemik Covid-19 yang berlaku pada ketika ini telah memberi kesan yang amat dahsyat kita semua dalam semua aspek termasuklah ekonomi.

“Namun, pada masa yang sama, jangan kita lupa bahawa semua yang berlaku ini adalah dengan izin Allah, maka sebagai Muslim yang beriman, kita dituntut untuk meningkatkan lagi hubungan kita dengan Allah, bukannya terus lalai atau bergantung harap semata-mata kepada manusia,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung penduduk yang terjejas, agar dapat menyalurkan maklumat kepadanya agar proses penyaluran bantuan dapat dibuat dengan segera.