KEMAMAN – Nasib bekas penjaga gol skuad hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi, mendapat perhatian serius daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan Persatuan Hoki Terengganu (PHT) selepas tular sebuah video yang memaparkan keadaan dirinya dalam situasi menyayat hati baru-baru ini.
Razali berkata saudara Asmawi pernah mengharumkan nama negara dan beliau tidak boleh membiarkan wira-wira sukan terabai selepas bersara.
“Usaha membantu beliau bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi satu penghargaan atas jasa dan pengorbanan beliau,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program ziarah kebajikan di Kampung Pondok Pasir, Ibok semalam.
Turut hadir Penaung PHT, Ir Saiful Azmi Suhaili, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman, Mohd Fadzli Ismail, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal, serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
Razali berkata, dalam pertemuan itu, pihaknya bersama PHT dan JKM telah berbincang pelbagai bentuk bantuan dan sokongan jangka pendek serta jangka panjang bagi menjamin kebajikan Asmawi.
“Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan Asmawi dan keluarganya, serta dikurniakan kesembuhan dan ketenangan buat beliau,” ujarnya.
Untuk rekod, Mohamad Asmawi Zaidi pernah menyarung jersi Malaysia Bawah 16 Tahun dalam kejohanan di Jerman, India dan Pakistan, serta beraksi mewakili Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA). Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental yang serius.
Awal Mei lalu, video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dalam keadaan tidak terurus, berkaki ayam dan meracau di sekitar Taman Kerang, Kuantan. Individu tersebut kemudiannya dikenal pasti sebagai Asmawi.
Menurut ahli keluarganya, beliau pernah mengalami episod serupa kira-kira lima tahun lalu. Tekanan hidup, pemutusan kontrak dengan kelab pada 2018 serta kemurungan antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada keadaan semasa beliau.
Selain itu, PHT bersama JKM dan agensi lain kini giat merangka pelan bantuan susulan, termasuk membawa beliau mendapatkan rawatan sewajarnya.
Sementara itu, pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyatakan kesediaan untuk membantu dalam bentuk sokongan kesihatan, perkhidmatan kaunseling dan bantuan sara hidup.