Oleh: Muhammad Hadi
ARAU : Ribut kencang yang melanda di beberapa kawasan di negeri Perlis sejak beberapa hari yang lalu telah menyebabkan banyak rumah di beberapa kawasan di negeri ini mengalami kerosakan.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas teruk adalah di Arau, Kuala Perlis serta kawasan persisir pantai antara Kuala Sungai Padang ke Kuala Sungai Baru.
Di Guar Sanji misalnya, lebih 6 buah rumah mengalami kerosakan akibat bencana tersebut.
ADUN Guar Sanji, YB Mohd. Ridzuan Hashim turut turun padang menziarahi mangsa-mangsa ribut di samping meninjau kesan kerosakan di beberapa buah kampung sepanjang dua hari yang lalu.
Beliau menyifatkan kejadian ribut yang melanda sejak beberapa hari ini sebagai sesuatu yang jarang-jarang berlaku di samping berharap agar mangsa ribut dapat bersabar atas dugaan yang menimpa mereka.
Selain itu beliau turut meminta agar kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terlibat, bagi meringankan beban mangsa.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam laman webnya memberi amaran ribut petir dijangka akan berterusan di negeri ini sehingga jam 11.00 pagi, 19 Jun 2018.