Home Berita PAS Terengganu

ADUN Bukit Tunggal gesa pembesaran jambatan Buluh Gading disegerakan

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid menggesa agar projek pembesaran Jambatan Buluh Gading dilaksanakan dengan segera.

Menurut beliau, keadaan jambatan berusia melebihi 61 tahun berkenaan yang sempit kini menjadi faktor utama kesesakan yang semakin meruncing, khususnya dari arah Batu Enam ke Manir, susulan pertambahan aliran trafik selepas siapnya pembinaan Jambatan Pulau Sekati.

“Kesesakan yang berlaku di musim perayaan dan di musim cuti persekolahan di Batu Enam adalah disebabkan oleh antaranya keadaan Jambatan Buluh Gading yang telah menjadi ‘bottleneck’ daripada aliran trafik Batu Enam ke Manir.

“Setelah siapnya pembinaan Jambatan Pulau Sekati, aliran trafik telah tertumpu ke arah Buluh Gading menyebabkan berlaku kesesakan di waktu puncak setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau turut menekankan keperluan untuk menyegerakan perancangan pembesaran jambatan tersebut demi kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

“Bukit Tunggal ingin mencadangkan projek pembesaran Jambatan Buluh Gading yang telah berusia melebihi 61 tahun ini dapat disegerakan untuk dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia yang ke-13 pada tahun hadapan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jambatan tersebut,” katanya.

Tambah Zaharuddin, Menteri Kerja Raya telah menyatakan persetujuan untuk meluluskan peruntukan bagi projek berkenaan.

“Untuk makluman dewan yang mulia juga, Yang Berhormat Menteri Kerja Raya pada lawatan ke Terengganu pada akhir tahun lepas secara dasarnya telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan bagi projek pembesaran Jambatan Buluh Gading tersebut setelah dimaklumkan oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Kuala Nerus,” jelasnya.

Sorotan daripada itu, beliau menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek pembesaran Jambatan Buluh Gading tersebut.