Home Berita PAS Terengganu

ADUN Belia jangan jadi ‘Burung Kakak Tua’

34
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu diingatkan agar terus memberikan komitmen melaksanakan program dan agenda belia serta tidak takut membuat kritikan jika mempunyai asas dan fakta yang kukuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebagai orang muda yang telah diberi kepercayaan, mereka seharusnya turun ke bawah membuat kajian, seterusnya memberikan cadangan dan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan.

“Kalau tidak, kita hanya bagaikan ‘burung kakak tua’ yang hanya pandai menyebut dan mengulang perkara yang sama, tetapi tidak menyelesaikan masalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Adun Belia Terengganu 2023, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas mengenai persidangan tersebut katanya, ADUN Belia terpilih diharap dapat memerah otak untuk berbahas dengan baik dalam persidangan kali ini dengan idea-idea yang segar dan bernas bagi mengetengahkan isu-isu rakyat terutamanya yang berkait dengan orang muda.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempat yang kebal bagi mengemukakan sebarang pandangan.

“Diharapkan mereka dapat mengambil peluang ini untuk mengasah bakat kepimpinan dan seterusnya berusaha mendekati golongan sasaran untuk mendengar, memahami serta mencari penyelesaikan terbaik terhadap sebarang isu yang dilontarkan.

“Seterusnya jangan takut untuk jumpa dengan mana-mana pihak dalam pentadbiran kerajaan bagi mengetengahkan sebarang usul atau apa yang mereka perolehi dari dapatan kajian yang mereka lakukan di komuniti masing-masing,” ujarnya.