Home Berita PAS Negeri Sembilan

Aduan rakyat: Gangguan anjing liar – mohon MBS bertindak

221
SHARE

 

 

Oleh RUSILAH MD SOM

SEREMBAN, 25 Sept : Penduduk Pusat Komersial UITM Seremban 3 menggesa pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) agar bertindak terhadap anjing liar yang berkeliaran dan mengganggu penduduk yang lalu-lalang di situ.

Salah seorang penduduk di kawasan itu yang sering berhadapan dengan masalah ini telah menghubungi pihak Wartawan Rakyat Negeri Sembilan (WARNS) meminta agar isu ini dapat dipanjangkan ke pengetahuan pihak berkuasa.

Beliau yang mahu identitinya dirahsiakan meluahkan rasa tertekan dan trauma dengan gangguan anjing yang berkeliaran di sepanjang laluan beliau keluar bekerja.

Menceritakan apa yang telah berlaku, suatu ketika beliau berjalan kaki untuk pergi ke tempat kerja, beliau telah diserang dari belakang oleh anjing-anjing yang berkeliaran, namun anjing itu hanya sempat mengigit beg yang disandangnya.

“Saya pernah diganggu ketika melalui Jalan 3/2, Pusat Kommersial UITM Seremban 3 dengan beberapa ekor anjing berwarna hitam, macam anjing polis, berhenti mengelilingi saya.

“Waktu itu saya seorang dan tidak dapat buat apa-apa melainkan menelefon abang dan abang datang sejurus dihubungi namun badan saya menggigil dan rasa trauma dan mengalami perasan takut yang berlarutan dengan peristiwa itu,” ujar beliau.

Pengadu juga menceritakan kepada WARNS beberapa peristiwa lagi berkaitan gangguan anjing-anjing yang berkeliaran yang pernah berlaku pada kenalan-kenalan beliau di situ.

Kata beliau, salah seorang sahabat serumahnya pernah dikejar anjing-anjing tersebut sehingga sahabatnya itu terjatuh dan mengalami luka kecil.

Menurutnya lagi, ada juga beberapa kejadian pemandu motorsikal ‘Foodpanda’ terjatuh dan cedera sehingga merosakkan barangan makanan yang dibawa.

Katanya pada WARNS, terdahulu sudah dua kali penduduk di taman itu membuat aduan kepada MBS.

“MBS dah pernah tangkap anjing-anjing liar itu, yang tak bertuan. Keadaan jadi amanlah untuk seketika,” ujar beliau.

Namun, menurut beliau, gangguan anjing-anjing itu reda cuma seketika, kini bilangan anjing-anjing yang berkeliaran semakin bertambah kerana kawasan itu dijadikan tempat orang-orang yang tidak bertanggungjawab melonggokkan makanan buat anjing tersebut.

“Bila dah jadi macam tu lebih banyaklah anjing datang ke situ. Terutama anjing liar daripada kawasan lain datang untuk mendapat makanan.

“Dan satu lagi, bila dah banyak, anjing-anjing ini akan bergaduh sesama mereka. Bila dah bergaduh tu memang bisinglah hingga ke larut malam. Nak tidur pun susahlah,” luah beliau.

Justeru, beliau benar-benar berharap pihak MBS dapat menangkap anjing-anjing yang berkeliaran di kawasan perumahan ini untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau juga mengharapkan agar pihak berwajib di kawasan ini benar-benar cakna dengan aduan ini, bukan hanya setakat melepaskan batuk di tangga kerana anjing-anjing liar yang datang ke kawasan itu kemungkinan membawa penyakit ‘anjing gila’.