
Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 3 DIS – ADN Beserah YB Dato’ Andansura Rabu memaklumkan keadaan Surau Kampung Selamat Pelabuhan telah dipenuhi dengan selut tebal akibat banjir kilat baru-baru ini.
Dalam perkongsian di laman sosialnya semalam, beliau menjelaskan bahawa air deras dari bukit berhampiran telah meruntuhkan tembok pagar bahagian belakang surau dan membawa masuk selut ke seluruh perkarangan, termasuk tempat wuduk, tandas dan bilik pengurusan jenazah.
“Surau berkenaan memang sering berdepan banjir kilat pada musim tengkujuh, namun kejadian kali ini lebih serius apabila tembok runtuh dan selut memenuhi hampir keseluruhan ruang,” kata beliau.

Katanya kerja-kerja pembersihan secara bergotong-royong bersama penduduk serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk diselesaikan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng yang hadir dengan jentera, kelengkapan dan tenaga bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.







