Home Artikel PAS Perak

Adam Rayqal Anak Syurga, Sedikit Pandangan Saya

584 views
SHARE

[KEPERLUAN SISTEM SOKONGAN YANG EFEKTIF UNTUK IBU YANG BEKERJA]

1. Awal pagi ini kita digemparkan dengan berita menyayat hati, seorang bayi berumur 5 bulan, yang pada awalnya diberitakan hilang, akhirnya ditemui sudah meninggal dunia dalam peti ais di rumah pengasuhnya.

2. Saya ingin mengucapkan takziah kepada kedua ibu bapa Adam Rayqal bin Mohd Sufi Naeif atas kepulangan anak syurga ini. Semoga kalian sekeluarga tabah menerima ujian ini, saya antara jutaan insan yang turut bersedih dengan berita ini.

3. Saban hari kita menerima berita kes kecederaan dan kematian bayi sama ada di taska mahupun rumah pengasuh. Menyedari tuntutan serta keperluan wanita yang mempunyai anak untuk bekerja, terdapat keperluan untuk “mewajibkan” pusat asuhan anak-anak di tempat kerja terutama bagi institusi-institusi kerajaan. Selain ibu bapa sendiri dapat memantau secara dekat anak-anak mereka, pusat asuhan tersebut juga dapat diselia dengan lebih teliti.

4. Bagi staf-staf yang memerlukan mereka bertugas di luar waktu pejabat, seperti jururawat, doktor dan sebagainya, disarankan agar pusat asuhan anak-anak juga disediakan di tempat kerja semasa mereka bertugas memandangkan kesukaran mendapatkan tempat penjagaan anak selepas jam 5 petang.

5. Selain itu, program teknik-teknik bantuan kecemasan bagi orang awam (basic life support for public) perlu diperluaskan di peringkat pusat asuhan anak-anak, komuniti, sekolah serta institusi awam.

Setiap ibu bapa kasih kepada anaknya. Namun dalam masa yang sama ada tuntutan amanah yang memerlukan khidmat mereka di lapangan masyarakat. Semoga Allah SWT merahmati setiap pengorbanan dan jasa yang dicurahkan. Moga dengan keberkatan kebaikan yang dilakukan juga Allah SWT menjaga anak-anak kita.

Nabi Muhammad s.a.w menitipkan doa ini kepada Abu Hurairah, ketika akan berpisah dengan beliau:

أَسْتَوْدِعُكَ ٱللَّهَ الَّذِي لَاتَضِيعُ وَدَا ئِعُهُ
“Aku letakkan engkau dalam jagaan Allah yang takkan pernah menyia-nyiakan apa yang di dalam jagaan-Nya”

Al Imam Abdul Wahhab al-Sya’rani mengatakan:

“Di antara akhlak para Solihin ialah mereka menyerahkan segala urusan diri, anak-anak, serta ahli keluarga mereka kepada Allah Ta’ala”.

-Hafez Sabri-
Timbalan Ketua,
Pemuda PAS Perak]