Home Berita PAS Terengganu

Abdul Hadi Kembali Ke Mimbar Kuliah Dhuha

11
SHARE

Foto : Amirul Aizab

MARANG – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini kembali menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila setelah berehat sementara atas faktor kesihatan.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, disiplin dan komitmen Tuan Guru dalam menyebarkan ilmu berpunca daripada kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

“Bagi Tuan Guru, menyampaikan ilmu adalah satu amanah yang berterusan. Ia bukan hanya tugas harian, tetapi ibadah yang berpanjangan hingga ke akhir hayat,” katanya ketika mengulas berkenaan kehadiran semula Tuan Guru ke rutin mingguan beliau.

Tambah beliau, kecekalan Presiden PAS itu untuk terus menulis, menuntut dan menyebarkan ilmu bukan kerana keperluan semasa, tetapi kerana keyakinan bahawa setiap ilmu yang bermanfaat adalah sedekah jariah yang akan berterusan pahalanya.

“Itulah yang menjadi kekuatan dan motivasi beliau selama ini, bahawa ilmu itu jalan menuju keredhaan Allah,” jelas beliau.

Kepulangan Abdul Hadi ke kuliah pagi Jumaat disambut penuh rasa syukur oleh masyarakat setempat dan ribuan anak murid yang hadir.

Ia turut memberi mesej yang kuat bahawa peranan ulama dalam masyarakat perlu terus hidup dan berfungsi.

Ahmad Samsuri turut mendoakan agar Abdul Hadi dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus membimbing dan mendidik umat dengan ilmu dan hikmah.

Abdul Hadi terpaksa berehat daripada menyampaikan kuliah dan beberapa tugasan sebelum ini kerana menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).