KUALA LUMPUR – Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam urusan rasmi negara, terutamanya dalam acara besar yang melibatkan kepentingan rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris dalam majlis rasmi, meskipun majoriti hadirin adalah rakyat Malaysia, menimbulkan kecelaruan dan tidak mencerminkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah diterima secara rasmi.
“Dalam majlis, orang putih ada tiga orang sahaja, yang rakyat kita ini ramai, semua boleh bertutur dalam Bahasa Melayu, tetapi masih juga menggunakan Bahasa Inggeris.
“Surat rasmi, bicara di mahkamah, masih lagi menggunakan bahasa Inggeris,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, pemimpin negara lain tetap berpegang kepada bahasa mereka sendiri dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kecuali negara yang dijajah secara pemikiran.
“Negara yang mempunyai identiti dan jiwa bangsa akan menggunakan bahasa mereka sendiri. Oleh itu, memperkasakan bahasa kebangsaan sangat penting dan perlu disedari oleh semua pihak,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Abdul Hadi turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda di bandar-bandar utama, yang dilihat mencetuskan kekeliruan serta menghakis identiti kebangsaan.
“Kita tidak dilarang untuk belajar bahasa lain, malah menuntut ilmu dalam pelbagai bahasa itu adalah baik. Namun, apa yang berlaku hari ini sangat bercelaru. Kedai-kedai di bandar menggunakan pelbagai bahasa, tetapi Bahasa Melayu hanya ditulis kecil sedangkan Bahasa Inggeris lebih besar,” katanya.
Beliau menyeru agar pihak berkaitan mengambil langkah untuk memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan sektor awam, selari dengan peranannya sebagai bahasa kebangsaan negara.