Home Berita PAS Pahang

Keluarga Mangsa Lemas di Lombong Bauksit Memfailkan Saman kepada Pemilik Tanah

694
SHARE

INDERA MAHKOTA, 30 Oktober:KELUARGA tiga mangsa lemas di lombong bauksit Taman Sungai Karanga Jaya, Kuantan, 4 Februari lalu memfailkan saman terhadap pemilik tanah di Mahkamah Sesyen, Kuantan, semalam.

Saman itu dikemukakan Mohd Shariff Awang Ngah, 50, dan Norhabibah Aidir, 50, iaitu ibu bapa kepada Nureen Ain Juwita, 10, serta Nor Azila Mudzafar Shah, 32, ibu kepada Salsabila Zulkhairi, 12 dan Mahathir Mohamad, 7.

Ia dikeluarkan terhadap pemilik tanah, Ng Kok Yu beralamat di Nombor 77, Medan Terengganu, Georgetown, Pulau Pinang, melalui peguam mereka, Mohd Harris Abdullah.

Mohd Harris berkata, pihaknya mengemukakan 15 alasan menerusi writ saman itu terhadap pemilik tanah bekas lombong bauksit berkenaan bagi menuntut ganti rugi yang akan ditetapkan mahkamah.

“Antaranya defendan iaitu pemilik tanah menjalankan kerja perlombongan atau mengalihkan laterit secara haram, gagal mendirikan pagar di sekeliling tapak kejadian bagi mengelakkan dimasuki orang ramai terutama kanak-kanak, gagal meletakkan papan tanda amaran dan gagal menimbus kolam yang dikorek untuk memastikannya tidak bertakung,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, akibat kecuaian pihak defendan menyebabkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia kerana lemas.

“Pihak kami ada membuat carian maklumat mengenai tanah berkenaan di Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang.

“Ia mendapati Kok Yu adalah pemilik tanah itu. Tanah berkenaan hanya boleh diusahakan dengan tanaman getah dan tiada permit 4C iaitu bagi mengeluarkan tanah laterit,” katanya.

Menurutnya, PTG turut mengesahkan tiada permit perlombongan diberikan namun keadaan di tapak tanah itu adalah sebaliknya.

“Defendan perlu memberikan penjelasan berhubung perkara itu dan kita akan menyerahkan writ saman berkenaan kepada defendan minggu depan,” katanya.

Dalam kejadian 5.45 petang Februari lalu, mangsa dilaporkan menjadi korban akibat kecuaian pihak sepatutnya mengambil tindakan menguruskan tapak lombong yang ditinggalkan.

Dalam tragedi itu, mangsa terbabit dikatakan bermain berhampiran kawasan lombong sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam lombong untuk mengambil pakaian yang terjatuh menyebabkan dua yang lain cuba menyelamatkannya.

Namun, ketiga-tiga mereka ditemui lemas dalam takungan ‘air merah’ itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/277926/kita-jumpa-di-mahkamah