Oleh : Muhammad Hadi
PADANG BESAR : PAS akan tetap bertanding dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang walaupun secara bersendirian, demikian
dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, YB Dato’ Ir. Iskandar Samad.
Menurutnya, meskipun dalam siri-siri PRU sebelum ini menyaksikan PAS mengadakan tahaluf siyasi dengan beberapa parti politik pembangkang dalam menentang Umno/BN, PAS tidak mempunyai masalah bahkan parti itu sebenarnya memiliki pengalaman yang amat luas menyertai pilihan raya umum secara bersendirian.
Ujarnya lagi, ketika ada yang beranggapan PAS akan berkubur selepas PRU ke 14 nanti disebabkan enggan bersama-sama dengan Pakatan Harapan, respon masyarakat kepada parti Islam tersebut jelas menggambarkan keadaan yang sebaliknya.
“Sejak PAS melaksanakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), rakyat mula melihat PAS sebagai parti masa hadapan.
“Jadi, kita kena ceritakan (tunjukkan) kepada rakyat, apa yang PAS boleh buat untuk rakyat, kita berikan solusi, bukan sekadar membangkitkan kelemahan-kelemahan kerajaan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian di hadapan para hadirin ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Perak PAS Kawasan Padang Besar
yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah PAS Padang Besar (KOMTAR), pada 2 Mac yang lalu
Mengulas lanjut berhubung perkara ini, beliau turut mendedahkan bahawa rakyat termasuk masyarakat bukan Islam sudah mula
menerima konsep yang dibawa oleh PAS iaitu agama dan politik tidak boleh dipisahkan.
Ini kerana rakyat mula sedar bahawa konsep ini terbukti melahirkan ahli-ahli politik yang lebih bertanggungjawab dalam
memimpin rakyat dan negara berbanding sistem politik sekular yang diamalkan sekarang.
Tambahnya lagi, rakyat semakin muak dengan pelbagai masalah yang berlaku dalam negara, kesan daripada sikap para pemimpin
yang korup, yang akhirnya turut memberi kesan kepada rakyat.
“Berbeza dengan sekarang, orang politik boleh buat apa saja, nak makan rasuah boleh, nak salah guna kuasa pun boleh, nak buat apa pun boleh.
“Tapi bila politik itu tidak terpisah dengan agama, orang politik akan berjaga-jaga, akan lebih bertanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan.
“Jadi rakyat sudah nampak, konsep ini bukan hanya memberi manfaat kepada Islam saja, tetapi akan memberi manfaat kepada
seluruh rakyat dan negara,” katanya.