KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI TERENGGANU
9 Oktober 2017 | 20 Muharam 1439
“MASJID KRISTAL: SUDAHLAH ROSAK, BAYARAN PULA MAHAL!”
1. Kerajaan Negeri Terengganu terus mengulangi amalan pembaziran melampau yang dilihat mengejar keuntungan semata-mata. Malah, timbul keraguan terhadap nilai besar diperuntukan yang menuntut penjelasan terperinci diberikan mengenai perbelanjaannya. Apatah lagi dalam situasi ekonomi kritikal kini, keutamaan sewajarnya lebih difokuskan terhadap pembiayaan berkaitan urusan kebajikan rakyat.
2. Masjid Kristal yang didakwa terabai kerja-kerja penyelenggaraan sejak 3 tahun lalu menggambarkan sikap lepas tangan kerajaan negeri. Struktur bangunan ikonik Terengganu itu dibiarkan uzur dan daif, sedangkan usianya belum mencapai satu dekad. Kini, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman terpaksa mengumumkan peruntukan RM900,000 bagi kerja membaik pulih kerosakan yang berkaitan.
3. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM305,000 adalah untuk menggantikan 28 keping kaca yang pecah di mana kerajaan negeri bersetuju menyalurkannya kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Ini bererti harga sekeping kaca tersebut adalah RM11,000 di mana memerlukan kerajaan negeri menyatakan kemunasabahan harga tersebut yang boleh membangkitkan syak wasangka.
4. Sementara RM584,000 diluluskan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melakukan kerja-kerja ‘waterproofing’ bangunan yang diisytihar sebagai ‘masjid pintar’ pertama di Malaysia itu. Pengaliran mudah kos sebesar itu mengekalkan ia sebagai antara binaan yang termahal di mana terlebih dahulu melibatkan kos RM23 juta semasa memulakan operasi tahun 2008 ketika Terengganu di bawah teraju Dato’ Seri Idris Jusoh.
5. Ianya menjadi sebahagian dari keseluruhan projek pembangunan Pulau Wan Man yang menelan belanja RM360 juta. Namun malangnya, ia mengulangi nasib sepertimana bangunan dan projek lain seperti Taman Ilmu Tembila, Kolam Renang MBKT dan pelbagai struktur ‘runtuh’ yang memalukan Terengganu. Sehubungan itu kerajaan negeri digesa lebih serius dalam menangani perkara seumpama ini agar tidak menjadi satu budaya.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ RAMLAN MAHMOOD
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu