Fastaqim Saksi Kesedaran Rakyat
Oleh: Aisyah Yamin
Kuala Nerus – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Hashim Jasin menyifatkan himpunan Fastaqim baru-baru ini sebagai saksi kebangkitan kesedaran rakyat yang amat tinggi.
Katanya, gerak kerja Islam adalah seperti membina sebuah bangunan dan para pendokongnya haruslah berusaha keras untuk mempertahankannya.
Beliau menyifatkan himpunan Fastaqim 2.0 baru-baru ini sedikit sebanyak menjadi teras kestabilan PAS dalam mengukuhkan lagi kefahaman Islam. Hal demikian jelasnya ekoran kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan pembinaan negara berasaskan hukum Allah.
“Kita teruskan perjuangan ini walaupun susah kerana kita takut akan amarah Allah,” tegas Tuan Guru.
Jelasnya, semangat untuk mengembangkan agama menjadi kian membara dalam kalangan masyarakat cuma perlu diteliti dan dikenali yang mana perosak ‘bangunan’ yang bertopeng dan yang mana pembina ‘bangunan’ yang ikhlas.
“Isu utama yang dihadapi dalam pembinaan negara Islam di sini adalah kerana wujudnya ‘muktazilah moden’ yang ingkar dan tidak puas hati dengan tindakan para ulama yang berpegang dengan sandaran Al Quran dan Hadis malah golongan ini sebaliknya meletakkan akal mendahului nas.
” Ada parti baru namanya Muktazilah. Kalau tuan puan nak tahu, saya memang menamakan mereka dengan Muktazilah.
” Antara mereka yang merosakkan bangunan yang kita bina ini, lihat saja kes baru-baru ini berhubung kebakaran sekolah Tahfiz Ittifaqoyah yang dibakar oleh sekumpulan remaja positif dadah, apa pandangan mereka?” Tegasnya ketika menolak respon mereka yang menggesa sekolah tahfiz di tutup.
Tuan Guru dalam ucapan malam kemuncak Fastaqim baru-baru ini turut menzahirkan kekesalan beliau terhadap suara-suara yang mengarahkan Pusat Tahfiz ditutup ekoran insiden kebakaran tersebut.
“Apapun, yang dibakar adalah pelajar-pelajar yang mendekati Al Quran dan cuba menghafal nya.
“Sedih bila ada suara sumbang yang menggesa semua Maahad Tahfiz ditutup. Sepatutnya, rasa simpati pada keluarga mangsa menebal dalam diri masyarakat.
“Kenapa kita nak kutuk ibu bapa yang menghantar anak ke Maahad Tahfiz? Sedangkan kita tak bagi apa- apa perhatian dan teguran kepada ibu bapa yang membiarkan anaknya menjauhkan diri dari Allah dan Al Quran,” soal beliau.
Mengakhiri ucapan, Tuan Guru mengharapkan semoga perhimpunan itu akan disusuli lagi dengan Fastaqim berikutnya dari masa ke semasa.
Fastaqim 2.0 baru-baru ini berlangsung selama dua hari dan berakhir gilang gemilang setelah menyaksikan sasaran 200k kehadiran tercapai.