PANTAI TOK JEMBAL MENGHANTAR ISYARAT KEMENANGAN
Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.
Terengganu menggamit kehadiran ratusan ribu pengunjung dalam suasana pra tengkujuh yang resah -gelisah . Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat. Dalam dua pilihanraya Umum , PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959 dan 1999, manakala dalam Pilihanraya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah.
Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, dimana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi. Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam.
Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat seperti sekam dibakar api, penubuhan cawangan PAS menjadi pantas berkembang , paralel dengan kegiatan jihad ta’lim. Terengganu pada awal abad 20 menyaksikan Sarekat Islam Terengganu menjadi wadah penentangan kepada British dengan kemuncaknya berlaku perang Padang kachong pada tahun 1928.
Negeri yang subur dengan jihad ta’lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam. Terengganu juga disorot oleh majalah Asiaweek sebagai negeri paling hangat pertarungan politik termasuk diluar musim pilihanraya.
Dengan latarbelakang sosiopolitik dan bermuarakan sejarah perjuangan Islam di Terengganu inilah maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihanraya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli , Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen.
Terengganu dalam dekad 1980an ,digegar dengan “fenomena Haji Hadi” yang menyaksikan simbahan semangat kebangkitan Islam yang luarbiasa. Kuliah masjid Rusila menggamit puluhan ribu pendengar terutama anak-anak muda peserta kebangkitan Islam. Bagi mengekang pengaruh PAS di Terengganu dalam dasawarsa 80an, regim UMNO BN telah mengenakan tangkapan ISA kepada tokoh -tokoh PAS di negeri ini termasuk Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Omar Khalid, Ustaz Stimat Jusuh. Kezaliman BN di Terengganu yang tak mampu dilupakan , antaranya perobohan Institut Berakan, perobohan masjid masjid Bujal kemaman, rampasan tanah-tanah rakyat pasca 2004.
Kemenangan BN dalam Pilihanraya 2013 sangatlah rapuh, dengan kelebihan dua kerusi. Malah banyak DUN yang BN hanya menang dibawah seribu undi serta kekalahan mereka agak menyeluruh di saluran tiga dan saliran empat. PAS Terengganu tanpa lelah terus menggerakkan jentera serta pelbagai program pemerkasaan parti dan usaha menawan hati rakyat. Program skala besar seperti HARAP terus menjelajah setiap daerah dan merengkuh sokongan rakyat pelbagai strata sosial.
Himpunan 200k , FASTAQIM 2.0 adalah usaha menjana semangat para amilin serta memugar energi penyokong PAS yang sudah tidak sabar berpencak di medan pilihanraya ke 14. Pantai Tok Jembal walau dengan deruan angin keras menampar pipi tetap santun membisikkan, “rakyat tanah berkah Tok Ku Paloh, ayuh kita menangkan perjuangan Islam, kembalikan Syariah Islam , payungi tanah leluhur ini dengan keadilan Islam , Mendobrak kezaliman dan kebejatan …tanah Darul Iman ini wajib diselimuti dengan Taqwa dan petunjuk dustur Ilahi”.