ARAU : Jentera Muslimat PAS Perlis mestilah bersungguh-sungguh menyampaikan maklumat sebenar tentang isu semasa kepada masyarakat agar masyarakat lebih cenderung memilih PAS dalam PRU-14 nanti.
Demikian gesaan Puan Noraini Hussin, Pengarah Jabatan Pilihanraya DMPM dalam Ceramah Umum Pilihanraya yang diadakan di Balai Islam MADI, Arau, pada Jumaat lepas.
Menurut beliau, selain daripada memahamkan mereka akan isu-isu yang sedang berlaku, jentera muslimat juga perlukah proaktif dalam membantu menyebarkan bahan-bahan penerangan yang telah diterbitkan.
Kegagalan berbuat demikian ujarnya, bukan sahaja merugikan parti, malah menyebabkan masyarakat tidak mendapat maklumat sebenar yang cuba disampaikan menerusi bahan penerangan tersebut.
“Kajian yang kita buat, salah satu punca kekalahan kita semasa PRU-13 ialah longgokan risalah penerangan isu semasa di markaz yang tidak diedarkan.”
Selain itu, beliau turut mengingatkan para petugas jentera bahawa keberadaan PAS dalam gelanggang pilihanraya bukan semata-mata mahu memenangi kerusi yang dipertandingkan, tetapi juga bagi menyelamatkan masyarakat dan negara menerusi solusi-solusi yang ditawarkan.
“Justeru, PAS hadir dalam ketegangan politik Malaysia dengan menawarkan solusi Islam yang dibawa dalam Dokumen Hijau yang menjadi asas kepada manifesto PAS, sekiranya diberi mandat oleh rakyat dalam PRU-14 yang bakal menjelang.”
{jathumbnail off}