Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | Raikan Hari Kesyumulan Islam

651
SHARE


9 ZULHIJJAH, RAIKAN HARI KESYUMULAN ISLAM.

Saat Nabi SAW wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah, Allah menurukan titahNya:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

“Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan bagi kamu segala nikmatKu, dan aku redha dengan Islam sebagai anutan kamu” – al-Maidah 3.

Nikmat Agung.

Tahukah kita, sekian lama umat terdahulu menantikan turunnya ayat ini? Allah takdirkan kita sebagai umat Muhammad SAW memperolehinya. Imam Ibnu Kathir menegaskan ayat ini merupakan nikmat terbesar yang dikecapi oleh umat Islam. Sehingga kaum Yahudi bertanya kepada Saidina Umar:

“Wahai Amirul Mu’minin, sesungguhnya kalian membaca satu ayat di dalam kitab kalian. Jika ayat seumpamanya diturunkan kepada kami puak-puak Yahudi, sudah pasti kami akan raikan hari penurunannya sebagai hari perayaan besar buat kami”

9 Zulhijjah merupakan hari Allah kurniakan untuk kita ayat pengiktirafan bahawa Islam yang kita anut telah sempurna. Tidak boleh dikurang dan tidak boleh ditambah.

Hasutan Agar Kita Kufur.

Barangkali atas kedengkian tersebutlah, Yahudi mencipta pelbagai doktrin ideologi demi menghasut umat Islam agar mengkufuri ayat kesyumulan Islam. Diperakui secara tidak langsung juga oleh tokoh orientalis, Reinhart Pieter Anne Dozy berkata:

“Sebahagian besar aliran ideologi yang pelbagai dicipta demi satu tujuan, iaitu mengembalikan Israel”

Apabila umat Islam menganut ideologi asing, maka berjayalah Yahudi menghasut umat Islam agar mengkufuri ayat kesyumulan Islam. Lantas membawa kepada faktor lemahnya pegangan umat Islam. Maka Yahudi beroleh peluang untuk meraih kuasa.

Saidina Umar Bersedih.

Ketika turunnya ayat kesyumulan Islam, Nabi SAW mendapati Saidina Umar menangis lantas bertanya:

“Apa yang menyebabkan kamu menangis?”

Saidina Umar menjawab:

“Aku menangis kerana selama ini kami menikmati ajaran Islam yang sentiasa bertambah. Adapun setelah diisytiharkan bahawa Islam telah pun sempurna ajarannya, apa lagi yang bakal berlaku melainkan kehilangan”

Nabi SAW menjawab:

“Ya, kamu benar”

Firasat Saidina Umar benar. Turunnya ayat tersebut menandakan ajal Nabi SAW sudah hampir tiba. Bahkan akan berlaku pencemaran ke atas ajaran Islam.

Islam Akan Kembali Asing.

Imam Ibnu Kathir mengaitkan dialog antara Nabi SAW dan Saidina Umar dengan senario Islam akan kembali asing. Ajaran Islam akan ditinggalkan oleh penganutnya. Umat Islam akan bersikap selektif terhadap ajaran Islam. Mereka merasa inferior dengan anutan mereka sendiri.

إن الإسلام بدأ غريبا ، وسيعود غريبا ، فطوبى للغرباء

“Sesungguhnya bermula Islam dalam keadaan asing, akan kembali Islam dalam keadaan asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing” – HR Muslim.

Solid Dengan Islam.

Bersyukurlah kita dengan Islam. Sedarlah bahawa kita adalah satu-satunya umat yang dikurniakan ayat Syumuliyyah Islam. Cukuplah kita dengan Islam. Mulia dan menangnya kita dengan Islam. Kita tidak akan mulia dengan mengambil selain dari Islam. Itulah kesedaran yang perlu ada setiap kali kita menyambut ‘Idul Adha.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
30 Ogos 2017.