Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Thalhah Bin Ubaidillah

29227
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 22)

TALHAH BIN UBAIDILLAH
 Syahid Yang Hidup 

Beliau merupakan antara yang terawal memeluk Islam. Ketika beliau berada di Busra atas tujuan perniagaan, datang seorang rahib ke pasar dan bertanya:
“Wahai sekalian peniaga. Siapakah di kalangan kamu yang datang dari tanah haram (Mekah)?”

“Aku” Jawab Talhah yang kebetulan berada hampir dengan rahib itu.

Rahib bertanya lagi:
“Adakah Ahmad telah muncul?”

“Siapakah Ahmad?” Soal Talhah pula.

Rahib memberi penjelasan:
“Beliau adalah anak kepada Abdullah bin Abdul Muttalib. Inilah bulan dia akan dibangkitkan. Dia dibangkitkan di tanah haram, dan akan berhijrah ke tanah yang banyak pohon kurma dan hasil pertanian.”

“Pergilah kepadanya wahai pemuda..” Pesan rahib kepada Talhah.

Lalu Talhah pulang meninggalkan rombongannya dan terus mencari Nabi yang dimaksudkan. Beliau menemui sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq yang terlebih dahulu sudah memeluk Islam. Abu Bakar meyakinkan Talhah dan kemudian membawa Talhah berjumpa Rasulullah. Akhirnya beliau mengucapkan syahadah di hadapan baginda SAW.

Orang yang paling marah dengan keislaman Talhah adalah ibunya sendiri. Ibunya sanggup memanggil para pembesar Quraisy untuk memurtadkan Talhah kembali dengan berbagai tawaran dan alasan. Namun Talhah tetap tidak berganjak.

Setelah cara lembut tidak menjadi, mereka mengguna kekerasan. Satu hari beliau pernah diikat tangan ke leher, disuruh berlari sambil dikejar oleh sekumpulan lelaki. Ada yang menolak tubuhnya. Ada yang memukul kepalanya. Di belakang sekali adalah seorang perempuan tua yang tidak henti-henti mencerca dan mengejinya. Itulah ibunya Su’bah binti al-Hadrami.

Tidak cukup dengan itu, diikat pula tubuhnya bersama Abu Bakar as-Siddiq, lalu diserahkan kepada samseng-samseng Quraisy untuk dibelasah.

Namun dari hari ke hari, semua itu cuma menambahkan imannya. Hatinya semakin cekal dengan agama Allah, sehingga Talhah digelar sebagai ‘Syahid Yang Hidup’.

Bagaimana beliau memperoleh gelaran sedemikian? Kisahnya bermula dalam perang Uhud. Ketika tentera musyrikin berjaya menawan bukit Rummah tempat pemanah Islam berkubu dan membunuh semua mereka, tentera musyrikin menuju pula ke arah Rasulullah SAW. Bersama Rasulullah di atas bukit itu hanya tinggal Talhah dan 11 orang Ansar yang lain.

Rasulullah SAW bersabda:
“Siapakah di antara kalian yang mahu mempertahankan kita, lalu akan menjadi temanku di syurga kelak?”

“Aku” jawab Talhah pantas.

“Kamu tunggu dahulu. Ada sesiapa di kalangan Ansar?” Balas Rasulullah.

Seorang lelaki Ansar menyahut. Rasulullah membenarkan lalu beliau pergi ke arah musuh, bertempur mempertahankan yang lain sehingga gugur syahid.

Baginda menawarkan lagi tawaran yang sama:
“Siapakah di antara kalian yang mahu mempertahankan kita, lalu akan menjadi temanku di syurga kelak?”

“Aku” Talhah sekali lagi menyahut.

Namun baginda SAW sekali lagi menolak dan meminta kaum Ansar dahulu. Begitulah keadaannya sehinga satu persatu Ansar menyahut dan semuanya gugur syahid.

Setelah tidak ada lagi orang selain Talhah, baginda bersabda:
“Sekarang giliranmu Talhah.”

Tanpa berlengah Talhah terus mara mendada musuh. Lama beliau bertarung menghalang musuh dari mendekati Rasulullah. Habis tubuhnya berlumuran dengan darah. Di badannya hinggap berbagai senjata musuh, meninggalkan lebih dari 70 luka libasan pedang, tikaman tombak dan tusukan panah. Pergelangan tangannya juga telah putus dipotong lalu jatuh ke dalam lubang dan terus terkambus. Tetapi beliau terus bertarung mempertahankan Rasulullah, sehingga datang bantuan dari Abu Ubaidah al-Jarrah dan Abu Bakar as-Siddiq.

Kerana peristiwa itu, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa mahu melihat seorang syahid yang masih berjalan di atas muka bumi ini, maka lihatlah kepada Talhah bin Ubaidillah!”

Abu Bakar as-Siddiq apabila menceritakan tentang perang Uhud akan berkata:
“Seluruh hari itu adalah milik Talhah..!”

Talhah adalah antara 10 sahabat dijanjikan syurga, sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadis.

Talhah menjadi contoh pejuang Islam yang sebenar. Tatkala beliau menyahut setiap seruan Nabi SAW untuk menjadi teman baginda di syurga, membuktikan ketulusan niatnya dalam perjuangan. Hanya menuntut syurga dan redha Allah semata-mata.

Talhah dan para sahabat lain ditarbiyah oleh Rasulullah supaya berjuang untuk akhirat mereka, bukan untuk dunia. Walaupun Islam menjamin kemakmuran di dunia, tetapi bukan itu yang mereka cari. Mereka bersama perjuangan hanya untuk kebahagiaan abadi di akhirat.

Sebagai pejuang Islam, sepatutnya kita memperbetulkan niat. Adakah kita bersama perjuangan ini untuk menjamin nasib di akhirat, atau kerana kita dambakan habuan selepas kemenangan. Adakah kita mahukan redha tuhan, atau sekadar mahu kemakmuran dunia yang dijanjikan Islam?

Tidak dinafikan apabila tertegaknya Islam, dunia akan makmur dan bahagia. Tetapi pejuang sejati lebih mendambakan syurgaNya, mengharapkan bertemu Tuhan bersama RasulNya yang dirindui di alam sana.

22 Ramadhan 1438
17 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}