Oleh ANDANSURA RABU
Langkah kerajaan mengenakan cukai pelancongan bermula 1 Julai ini bakal menjejaskan kempen Tahun Melawat Pahang 2017. Kesan langsung daripada cukai ini sudah pasti kos untuk melancong akan semakin tinggi dan ini akan menjadi pertimbangan utama rakyat negara ini untuk melancong.
Langkah ini juga dilihat sebagai satu langkah yang amat terdesak, membebankan pengguna serta jalan mudah utk menjana pendapatan. Kerajaan seolah-olah telah kekeringan idea untuk mempertingkatkan pendapatan negara selain daripada mengenakan cukai.
Persoalan seterusnya yang perlukan penjelasan daripada kerajaan adalah, berapa banyak daripada kutipan cukai itu akan diagihkan kepada negeri-negeri untuk meningkatkan aktiviti pelancongan mereka?
Apakah kerajaan-kerajaan negeri sudah kehilangan hak untuk mengutip hasil-hasil lain sebagai sumber pendapatan negeri daripada aktiviti pelancongan? Adakah kegiatan mempromosikan pelancongan negeri-negeri akan dilaksanakan oleh kerajaan pusat?
Jika persoalan-persoalan di atas masih tidak ada jawapan yang jelas, maka kita sarankan supaya cukai pelancongan yang dicadangkan itu ditangguhkan pelaksanaannya.
Sasaran kerajaan Pahang adalah untuk menarik seramai 15 juta pelancong sempena Tahun Melawat Pahang 2017 setakat ini telah hampir separuh jalan kempen ini dilaksanakan, namun dengan cukai ini adalah dijangkakan sasaran itu akan jauh meleset.
Haji Andansura Rabu ialah TPJ PAS Pahang
Adun Beserah