IBRAH AL-KAHFI : MEMBINA PELAPIS.
Di dalam surah al-Kahfi, Allah mengajar tentang kepentingan ilmu untuk menghadapi fitnah akhir zaman. Melalui kisah pengembaraan ilmu Nabi Musa, kita bertemu dengan watak ‘budak’ yang menemani baginda. FirmanNya:
“Dan berkata Musa kepada budaknya, aku tidak akan berhenti berjalan selagi belum sampai ke pertemuan dua laut atau aku sanggup berjalan hingga bertahun-tahun” – al-Kahfi 60
Anak Muda.
Dalam penceritaan ini, Allah mungulangi 2 kali panggilan ‘budak’, merujuk kepada Yusya’ Bin Nun. Betapa Allah mementingkan soal pembinaan generasi muda demi melakar perjalanan Islam yang mendatang.
Pembudayaan Ilmu.
Pembinaan pelapis bukanlah semata-mata dengan mengapi-apikan semangat anak muda kemudian mengeksploit mereka seenaknya. Sebaliknya pelapis adalah aset yang perlu diilmukan. Maka padanlah Allah menyampaikan mesej pembinaan pelapis dengan kisah pengembaraan ilmu Nabi Musa.
Yusya’ diajar oleh Nabi Musa akan adunan ilmu yang dimatangkan dengan pendedahan realiti. Beliau dibawa oleh Nabi Musa untuk menyaksikan peristiwa yang mengelirukan. Beliau diasuh dengan gaya berfikir Nabi Musa yang kritikal, pada masa yang sama, beliau menyaksikan hikmah Nabi Khadir.
Peka.
Generasi pelapis mestilah diasuh untuk mengenal-pasti realiti. Nabi Musa menyuruh Yusya’ agar memerhati persekitaran, lokasi pertemuan dua laut dan ikan yang menjadi bekalan mereka melompat kembali ke laut.
Bukanlah pelapis yang buta dan pekak lagi tidak sensitif. Sekadar ikut-ikutan tanpa mengetahui realiti cabaran sebenar.
Sedar Akan Ancaman.
Ketika Yusya’ alpa, beliau terus mengakui punca kealpaanya adalah kerana diri sendiri yang terlupa dan syaitan yang sentiasa beragenda jahat. Yusya’ jelas akan kelemahan diri sendiri dan ancaman musuh, iaitu syaitan dan rangkaiannya.
“Dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa melainkan syaitan” al-Kahfi 63.
Maka tidak benar jika sesetengah menganggap kononnya semua masalah yang menimpa ke atas Islam adalah berpunca dari kelemahan diri sendiri. Kononnya tidak perlu bincang tentang musuh yang sentiasa beragenda jahat. Akhirnya ditipu musuh kerana tidak kenal musuh.
Pewaris.
Dari asuhan yang telah dilalui, akhirnya Yusya’ dilantik sebagai Nabi yang menggantikan Nabi Musa. Bahkan Nabi Yusya’ mencapai kejayaan yang tidak sempat diraih oleh Nabi Musa, iaitu menakluk Baitul Maqdis.
Jika Nabi Musa dikurnia mu’jizat membelah laut, Nabi Yusya’ pula dikurnia mu’jizat membelah sungai.
Yang pasti, semua Nabi mewariskan ilmu dan rasa amanah terhadap perjuangan Islam. Itulah ciri-ciri murabbi yang ada pada para Nabi & Rasul.
Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
4 Ogos 2017.