SAYA berkesempatan mengikuti secara langsung perbahasan RUU 164 melalui siaran web tv. Bermula selepas maghrib sehingga lulus jam 1 pagi. Banyak kupasan dan hujahan diberikan; ada yang pro dan ada yang kontra.
Secara jelasnya PAS menentang RUU ini atas alasan yang jelas:
1. Seksyen 51 RUU bercanggah dengan undang-undang persekutuan sedia ada seperti Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003.
2. Ianya juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan.
3. Secara alternatifnya dicadangkan ditubuhkan satu tribunal untuk mediasi sebelum kes dibicarakan.
Rata-rata MP yang berhujah mempertikai alasan Seksyen 88A yang ditarik balik. Beberapa orang MP DAP secara nyata menyatakan kekesalan atas tindakan menteri membuang seksyen tambahan tersebut.
Tapi saya lebih terkejut bilamana MP Parti Amanah Negara yang beragama Islam pun boleh bersetuju dengan hujahan rakan baik mereka.
Sedangkan secara jelas, ia bercanggah dengan peruntukan perlembagaan yang kemudiannya ditafsir oleh Mahkamah Persekutuan dan bersamaan dengan fatwa peringkat kebangsaan.
PAS mencadangkan RUU ini ditarik balik bagi membolehkan pembentukan satu jawatankuasa yang terdiri dari semua stake holder dan mencadangkan satu RUU bersama.
Malangnya seruan tersebut telah dikalahkan dengan undian suara dan mendapat sokongan majoriti semua MP kecuali MP PAS.
Nah sekarang… siapa yang tuan-tuan nampak sebenarnya membela Islam?
NIK BAHRUM NIK ABDULLAH
Pengkalan Chepa, Kelantan
10/8/2017