BANGI – Bahang pilihanraya umum kali ke-14 semakin dirasai oleh semua peringkat jentera pilihanraya PAS termasuk Ameerah, sebuah unit di bawah Dewan Muslimat PAS.
Sehubungan itu, pihak Ameerah Serdang mengorak langkah memberi pendedahan kepada ahlinya untuk menambah ilmu berkenaan pilihanraya agar jenteranya bersiap siaga setiap masa.
Satu Bengkel Ameerah Mengupas telah diadakan bagi menangani kekalutan ahlinya yang sangat bersemangat untuk melihat kemenangan PAS di Parlimen Serdang terutama DUN Bangi dan Balakong.
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Serdang (DMPS), Puan Hamsatul Hamzah, muslimat muda perlu menyalurkan semangat dan kekuatan yang mereka ada untuk menyebarkan dakwah dan penerangan PAS.
“Muslimat muda, terutama Ameerah Serdang perlu bersama dengan DMPS untuk sebarkan agenda dakwah dan kebajikan PAS ke setiap peringkat terutama akar umbi.
Gunakan semua tenaga dan kemahiran yang ada untuk kemenangan Islam”.
Selain itu, beliau turut mengingatkan Ameerah Serdang agar menambah ilmu melalui pembacaan dan mengkaji produk Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor.
“Muslimat muda perlu banyak membaca dan mengkaji agar memperoleh pengetahuan supaya produk kerajaan Negeri Selangor dapat disebarkan secara menyeluruh kepada rakyat.”
Kekalutan Ameerah Serdang untuk membantu dalam pilihanraya juga dapat dilihat apabila pimpinan mereka telah menyertai Gelombang Muslimat Muda PAS Negeri Selangor pada 13 Ogos lepas bagi mendapatkan info terkini tentang PRU akan datang.