IBRAH AL-KAHFI : DOA MENDEPANI TEKANAN ISLAMPHOBIA.
Tatkala remaja-remaja Ashabul Kahfi berdepan dengan senario:
• Islam kelihatan asing. Pendukung Islam tiada upaya menyatakan prinsip Islam mereka.
• Jahiliyyah yang menyesatkan dianggap benar. Bahkan memiliki kuasa untuk mengancam iman.
Istiqamah.
Maka Ashabul Kahfi memohon rahmat dari Allah, agar tidak diuji dengan tekanan yang tidak mampu dihadapi dan mereka. Serta meminta supaya Allah kurniakan petunjuk dalam setiap tindakan yang mereka pilih. Allah merakamkan doa Ashabul Kahfi:
“Wahai Tuhan kami, kurniakan kami rahmatMu, dan tunjukkanlah kami pedoman dalam segenap urusan kami” – al-Kahfi 10.
Tindakan mereka masuk ke dalam gua bertujuan untuk memelihara iman, agar tidak terpengaruh dengan persekitaran yang serba menyesatkan ketika itu.
Doa yang mereka lafazkan itu, turut terpakai untuk kita.
Ghuraba’.
Senario yang serupa digambarkan oleh Nabi SAW tentang fitnah akhir zaman. Benar dianggap salah, salah pula dianggap benar. Amanah dianggap khianat, khianat pula dianggap amanah. Paradigma manusia telah menjadi serba songsang, keadaan menjadi serba keliru. Maka Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya agama Islam ini mulanya asing dan akan kembali asing. Maka beruntunglah bagi mereka yang asing. Iaitu golongan yang tetap baik (pegangan Islamnya), sedangkan manusia ketika itu punah selepas meninggalkan sunnahku” – hadith riwayat Tirmizi.
Kita mohon rahmat dari Allah untuk:
• Terus kekal di jalan iman.
• Tidak terpengaruh dengan arus jahiliyyah yang diikuti oleh kebanyakkan manusia.
Maka itulah ciri golongan ghuraba’ yang kita idamkan.
Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulama’
PAS Kawasan Klang
18 Ogos 2017.