Home Berita PAS Terengganu

Keyakinan Ibu Bapa, Pelajar PASTI Al-Huda Cecah 100

2
SHARE

KUALA TERENGGANU — PASTI Al-Huda menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pelajarnya meningkat sejak ditubuhkan pada 2018, mencerminkan keyakinan berterusan ibu bapa terhadap sistem pendidikan yang ditawarkan.

Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, YB Ustaz Ahmad Shah berkata, ia bermula dengan hanya 19 pelajar namun bertatambah sehingga mencecah 100 orang, setelah tujuh tahun beroperasi.

Katanya, daripada hanya satu premis, PASTI itu telah membuka satu lagi cawangan, PASTI Al Huda 2, dengan sembilan orang tenaga pengajar serta dua orang pembantu.

“Saya yakin ibu bapa benar-benar percaya kepada kaedah pengajian yang diterapkan oleh PASTI. Kami sangat berterima kasih kepada semua ibu bapa atas keyakinan itu,” jelasnya.

ADUN Bandar itu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar PASTI Al-Huda, di Markaz Tarbiyyah PAS, Kuala Ibai, semalam.

Menurutnya, penganjuran majlis itu bukan sekadar meraikan pencapaian pelajar, tetapi bertujuan memberi motivasi kepada mereka agar lebih bersemangat dalam menuntut ilmu.

“Anak-anak rasa dihargai apabila diraikan. Ini memberi dorongan besar untuk mereka terus menunjukkan bakat dan kemampuan dalam pembelajaran,” katanya.

Jelasnya, pendidikan awal kanak-kanak anjuran PAS bukan hanya tertumpu kepada kemahiran asas seperti membaca, mengira dan menghafal, tetapi menitikberatkan pembentukan akhlak, disiplin dan cara berfikir yang betul.

“Ilmu bukan sekadar akademik. Kita mahu anak-anak mendapat ilmu dunia dan akhirat. Mereka yang kita didik hari ini usia empat, lima dan enam tahun akan membesar menjadi generasi yang menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, penerapan ilmu agama sejak awal penting supaya anak-anak membesar dengan pegangan yang kukuh, memiliki rasa hormat kepada ibu bapa dan memahami nilai-nilai kehidupan.

“Kita letakkan asas agama bukan sekadar tambahan, tetapi sebagai tunjang pendidikan. Bila kita tua nanti, merekalah yang akan mendampingi kita,” katanya.