Home Rencana PAS Wilayah

JANGAN GANGGU SIASATAN, JFS PERLU HORMATI PROSES UNDANG-UNDANG

9
SHARE

Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Justice for Sisters (JFS) berhubung operasi penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sebuah premis yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral baru-baru ini.

Gesaan JFS agar semua individu yang ditahan dibebaskan serta permintaan supaya siasatan digugurkan adalah tidak menghormati proses undang-undang, selain berpotensi mengelirukan masyarakat dan mencetuskan persepsi negatif terhadap agensi penguatkuasaan yang menjalankan tugas secara sah.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju menegaskan pendirian berikut:

1. Menghormati dan menyokong tindakan pihak berkuasa

Operasi yang dijalankan adalah berasaskan maklumat, siasatan dan peruntukan undang-undang yang sah. Sebarang usaha mempertikaikan tindakan tersebut secara terbuka adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan integriti siasatan.

2. Kenyataan JFS mengganggu proses siasatan

Kenyataan yang bersifat berat sebelah, manipulatif dan mengabaikan fakta kes boleh mengganggu proses siasatan serta mempengaruhi persepsi awam secara tidak tepat.

3. Mencadangkan semakan terhadap tindakan JFS oleh pihak berautoriti

Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju menggesa agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menilai sama ada tindakan JFS selari dengan tanggungjawab sebagai pertubuhan berdaftar dan tidak membawa agenda yang bertentangan dengan nilai masyarakat serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

4. Menolak usaha normalisasi aktiviti bertentangan moral dan undang-undang

Sebarang usaha untuk menormalisasikan aktiviti yang bercanggah dengan moral, undang-undang dan budaya masyarakat Malaysia adalah tidak boleh diterima. Masyarakat berhak dilindungi daripada sebarang agenda yang boleh merosakkan akhlak dan struktur sosial negara.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju menyeru semua pihak untuk memberi ruang kepada agensi penguatkuasaan menyelesaikan siasatan secara adil, telus dan menurut lunas undang-undang tanpa tekanan mana-mana pihak.

USTAZ BEYHAQI RAMLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju