Home Berita PAS Terengganu

Budaya Songsang Ancaman Besar Kepada Keharmonian Dan Nilai

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Marang menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan paparan budaya songsang yang semakin berani dipertontonkan secara terbuka di media sosial, menyifatkannya sebagai ancaman besar terhadap keharmonian dan nilai masyarakat negara ini.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail, berkata normalisasi terhadap gaya hidup yang bertentangan dengan syariat Islam dan fitrah manusia boleh merosakkan institusi keluarga serta meruntuhkan fabrik sosial negara.

“Kami menegaskan bahawa sebarang bentuk normalisasi terhadap gaya hidup yang bertentangan dengan fitrah manusia dan syariat Islam adalah satu ancaman besar kepada institusi keluarga dan fabrik sosial negara.

“Islam secara tuntas melarang perbuatan keji ini sebagaimana firman Allah SWT yang jelas mengenai kaum yang melampaui batas.

“Kita tidak mahu sikap sambil lewa mengundang kemurkaan Allah SWT yang akhirnya memberi kesan buruk kepada seluruh penduduk negeri dan negara,” jelasnya dalam laman sosialnya, semalam.

Justeru itu, beliau menyeru agar pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memperketat penguatkuasaan undang-undang sedia ada tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau penganjur yang mempromosikan unsur LGBT dan hiburan melampau.

Beliau turut menyeru ibu bapa, pendidik dan masyarakat agar memperkukuh benteng akidah anak-anak sejak dari rumah bagi mengelak mereka terpengaruh dengan dakyah yang berlindung di sebalik slogan hak asasi manusia.

“Benteng akidah perlu diperkukuh bermula dari rumah bagi memastikan anak-anak kita tidak terpengaruh dengan dakyah songsang yang berlindung di sebalik slogan hak asasi manusia yang tersasar,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan komitmen mereka untuk terus menjadi suara semak dan imbang dalam usaha memelihara kesucian Islam serta memastikan keselamatan moral masyarakat terjamin.

“Marilah kita bersatu hati dalam agenda Amar Ma’ruf Nahi Mungkar.

“PAS Kawasan Marang komited untuk terus menjadi suara semak dan imbang demi memelihara kesucian agama Islam dan memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang diberkati (Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur),” tambah beliau.