Home Rencana PAS Wilayah

DPPWP MENGECAM KENYATAAN BIADAP NGO: JUSTICE FOR SISTERS (JFS) BERHUBUNG SERBUAN PIHAK BERKUASA

5
SHARE

Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius kenyataan dikeluarkan sebuah NGO Pro LGBTQ iaitu Justice for Sisters (JFS) pada 29 November 2025 melalui kenyataan di website mereka,

“Drop all investigations and immediately release all 201 people arrested in the Kuala Lumpur health centre raid.”

 

Kenyataan tersebut secara terang-terang mempertikaikan tindakan pihak berkuasa yang menjalankan amanah undang-undang.

 

▪️Serbuan Pihak Berkuasa Adalah Tindakan Tepat, Wajar dan Menepati Perlembagaan Persekutuan

 

DPPWP menegaskan bahawa tindakan serbuan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat), Pasukan KL Strike Force Polis Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah langkah yang tepat.

 

Kegiatan yang berlaku bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang negara, bahkan jelas bertentangan dengan nilai ketimuran, norma masyarakat Malaysia dan lebih utama lagi, syariat Islam sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

 

DPPWP merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua agensi terlibat yang tegas dan komited mempertahan integriti moral masyarakat.

 

▪️NGO Justice for Sisters Membawa Agenda LGBTQ Yang Bertentangan Dengan Islam & Identiti Negara

 

DPPWP menegaskan bahawa NGO Justice for Sisters (JFS) bukanlah sebuah pertubuhan berkecuali seperti yang didakwa, bahkan melalui visi serta misi mereka sendiri jelas membawa agenda,

 

“Comprehensive legal reforms for LGBTIQ people in Malaysia.”

 

Ini merupakan suatu usaha tersusun yang cuba menormalisasikan budaya hidup LGBTQ serta menuntut penerimaan masyarakat terhadapnya.

 

Tambahan, DPPWP turut memandang serius peranan pengasas dan aktivis transgender, Nisha Ayub yang secara aktif mempromosikan agenda LGBTQ melalui jaringan JFS.

 

Tindakan Nisha Ayub dan JFS membawa pengaruh negatif yang bercanggah dengan nilai agama dan budaya negara

 

Agenda LGBTQ yang dibawa NGO ini merupakan ancaman besar kepada:

 

🔹Akidah Umat Islam dan syariat Islam

🔹 Institusi keluarga harmoni

🔹Struktur sosial dan budaya Malaysia

🔹Keluhuran Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan

 

Sehubungan itu, DPPWP menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan seluruh agensi berkaitan untuk menilai serta memantau kembali operasi NGO ini yang semakin agresif mencabar prinsip moral negara dan pegangan majoriti rakyat Malaysia.

 

▪️Larangan Islam Terhadap Perlakuan Songsang: Dalil Syarak yang Jelas dan Tegas*

 

Islam secara jelas melarang perbuatan liwat, hubungan sejenis dan apa jua perlakuan seksual di luar fitrah. Antara dalil yang jelas ialah firman Allah SWT:

 

Surah an-Naml, ayat 55

 

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”

 

Sabda Nabi SAW:

 

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، ثَلاثًا

 

Maksudnya: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (Riwayat Ahmad)

 

Dalil-dalil ini serta banyak lagi dalil yang menunjukkan dengan jelas bahawa hubungan sejenis adalah perbuatan yang diharamkan, mendatangkan kemurkaan Allah serta menimbulkan kerosakan akhlak dan sosial.

 

▪️DPPWP Menyokong Tindakan Tegas Demi Memelihara Masyarakat dan Generasi Akan Datang

 

Lajnah Dakwah DPPWP komited untuk menyokong setiap usaha pihak berkuasa yang bertujuan menjaga moral masyarakat, menghalang aktiviti tidak sihat serta membanteras normalisasi budaya LGBTQ yang semakin agresif.

 

DPPWP menolak sebarang usaha oleh mana-mana individu, NGO atau pertubuhan yang cuba:

 

🔹Menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti tidak bermoral

🔹Menjadikan amalan songsang LGBTQ sebagai hak individu

🔹Menekan pihak berkuasa melalui kenyataan provokatif

🔹Mempengaruhi masyarakat, khususnya anak muda, menerima gaya hidup bertentangan dengan syariat Islam

 

DPPWP sekali lagi menegaskan pendirian tegas bahawa kami membantah sepenuhnya tindakan Justice for Sisters (JFS) yang mempertikaikan dan mengecam tindakan pihak berkuasa, sedangkan tindakan tersebut adalah wajar, sah dari sudut undang-undang serta diperlukan bagi menjaga moral dan keselamatan masyarakat.

 

DPPWP turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam dan warga Kuala Lumpur agar sentiasa berwaspada terhadap gerakan yang cuba menghakis fitrah manusia dan menormalisasikan gaya hidup yang bercanggah dengan syariat Islam.

 

Pemeliharaan kemaslahatan umat, pengukuhan institusi keluarga dan pembinaan generasi berakhlak mulia mesti menjadi keutamaan bersama demi menjamin masa depan negara yang sejahtera dan bermaruah.

 

Ashraf Rifaie Azhar,

Lajnah Dakwah, Perpaduan Nasional & Hubungan NGO,

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.