KEMAMAN – Lima buah rumah di Taman Rakyat Bistari, Bukit Kuang, di sini, mengalami kerosakan pada bahagian bumbung selepas dilanda kejadian ribut kepala angin secara mengejut, petang semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.00 petang itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan, namun beberapa penduduk terkejut dengan situasi tersebut kerana cuaca ketika itu cerah tanpa hujan.
Salah seorang penduduk, Afifi Marwan Noor Zelin Ayadi, 32, berkata dia dan penduduk lain tidak menjangka akan berlaku kepala angin itu memandangkan ketika kejadian cuaca cerah dan tidak hujan.
“Ketika kejadian saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja di Pelabuhan Kemaman, tiba-tiba saya terdengar seperti bunyi yang kuat, macam orang berlari di atas bumbung.
“Bunyi tersebut sangat pantas dan kemudian senyap seperti tiada apa-apa berlaku. Saya keluar dari rumah dan dapati beberapa keping bumbung rumah berselerak di atas tanah,” katanyamenurut laporan berita Kosmos Malaysia semalam.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Faiz Hafizi Adnan, 24, berkata dia yang tinggal berseorangan ketika kejadian panik apabila mendengar bunyi bising di atas bumbung rumahnya.
“Saya ingatkan bunyi kera sebab kera kadangkala berlari atas bumbung, namun bila saya keluar dari rumah, saya terkejut apabila jiran beritahu rumah kami dihentam ribut dan kepala angin.
“Cuaca panas, tidak hujan dan tidak berangin, namun tiba-tiba berlaku kepala angin.
“Tahun lalu ada beberapa buah rumah juga rosak akibat ribut, namun ini pertama kali berlaku di rumah saya menyebabkan lebih 10 keping atap rumah diterbangkan angin,” katanya.





