BESUT – Isu air bertakung yang kerap menghantui penduduk Taman Sri Intan, Kayu Kelat di sini, mendapat perhatian Khidmat Malaysia Terengganu yang turun padang meninjau situasi pasca banjir gelombang pertama, hari ini.
Tinjauan tersebut diketuai oleh Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Terengganu, Sauji Ab Rashid sejurus selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut ditutup sepenuhnya hari ini.
Pengerusi Khidmat Malaysia Kawasan Besut, Wan Kadir Abd Ghani berkata, PPS berkenaan sebelum ini mula beroperasi pada jam 11 pagi, 23 November lalu susulan hujan lebat berterusan.
“Seramai 284 mangsa daripada 64 keluarga ditempatkan di PPS SK Kuala Besut sepanjang tempoh gelombang pertama ini sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh turut meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan pada 24 November lepas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kayu Kelat, Shaari A Rahman yang turut serta dalam tinjauan itu berkata, banjir kilat kali ini mengakibatkan kira-kira 20 keluarga di Taman Sri Intan terjejas.
“Kebiasaannya, keseluruhan taman perumahan ini yang menempatkan lebih 200 keluarga akan terjejas jika berlaku banjir besar.

“Punca utama dikenalpasti adalah aliran air dari arah Kayu Kelat yang mengalir ke parit besar taman perumahan ini sebelum ke jalan pantai, tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang banyak menyebabkan ia melimpah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tinjauan mendapati tiada isu sampah sarap yang menghalang saluran, sebaliknya ia berpunca daripada sistem perparitan sedia ada yang perlu ditambah baik.
“Longkang sedia ada sudah baik dan tiada sampah, namun kapasitinya perlu ditambah lagi bagi menampung limpahan air pada masa akan datang agar kejadian air bertakung masuk ke rumah penduduk dapat dielakkan,” ujarnya lagi.





