Home Berita PAS Terengganu

Capaian Internet di Besut masih lemah, walau aduan telah dibuat sejak 2024

4
SHARE

KUALA LUMPUR  – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah internet lemah di Besut walaupun aduan telah dikemukakan sejak 2024.

Katanya, isu capaian internet bukan sekadar kelemahan teknikal, tetapi mencerminkan tahap kesediaan infrastruktur dalam pelaksanaan dasar komunikasi negara.

Jelasnya, perkara itu juga turut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan mencapai sasaran liputan 5G Fasa 2 sebanyak 80 peratus menjelang 2026.

“Lebih 10 kawasan di Besut dikenal pasti mempunyai capaian internet yang sangat lemah. Saya telah melaporkan perkara kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak awal tahun lalu, namun sehingga kini tindakan susulan masih belum kelihatan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Antara kawasan terjejas menurut beliu ialah Kampung Padang Luas Dalam, Kampung La, Medan Selera Bandar Jertih, Kampung Alor Lintah, Kampung Bukit Puteri, Kampung Kubang Ikan, Kampung Raja, Kampung Beliku, Seberang La Hulu Besut, Felda Tenang dan Kampung Gerai Muda.

Tambah beliau, walaupun pegawai SKMM telah turun padang dan mengadakan sesi libat urus, penduduk terus berdepan masa tanpa penyelesaian konkrit.

Che Mohamad berkata, kelemahan capaian internet memberi implikasi besar kepada golongan pelajar yang memerlukan pembelajaran digital, terutamanya ketika sesi PdPR semasa banjir, selain menjejaskan pendapatan peniaga kecil yang bergantung kepada platform jualan dalam talian.

“Penduduk miskin yang tidak mampu melanggan internet fiber terus menjadi mangsa penyisihan digital,”katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberi perhatian segera dan meningkatklan infrastruktur komunikasi di Besut bagi memastikan rakyat kawasan itu tidak terus ketinggalan dalam arus digital negara.