Home Berita PAS Terengganu

Kerjasama Terengganu-MRL Buka Lembaran Baru Ekosistem Ekonomi Baru Negeri

2
SHARE

KUALA LUMPUR – Memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara Kerajaan Terengganu dan Malaysia Rail Link semalam, bukan sekadar perancangan pembangunan fizikal semata-mata.

Kerjasama strategik itu dilihat sebagai pemudahcara dalam pembangunan Transit Oriented Development (TOD) di sekitar stesen-stesen ECRL di Negeri Terengganu.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri, usaha itu juga merupakan langkah membina sebuah ekosistem ekonomi baharu yang memberi manfaat terus kepada rakyat melalui pekerjaan, peluang perniagaan dan akses mobiliti yang lebih baik.

“Kita tidak lagi melihat pembangunan secara terpisah-pisah namun sebagai rangkaian yang saling menguatkan, daripada perumahan mampu milik, penyambungan pengangkutan sehingga kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Kerajaan Negeri juga meletakkan keutamaan agar tanah-tanah kerajaan yang telah dikenal pasti iaitu hampir 600 hektar keseluruhannya dimajukan dengan teratur dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara kedua-dua entiti terlibat yang diwakili Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Nara Setia dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Dato’ Sri Darwis Abdul Razak di The Majestic Hotel.

Kerjasama yang dimeterai itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hadir sama ialah Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Penasihat Undang-undang Terengganu, Mohd Nawawi Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat.

Dr. Samsuri juga memaklumkan bahawa bermula pada tahun ini, kerja-kerja pembersihan di kawasan utama seperti Chukai, Kemasik dan Dungun telah pun dimulakan.

“Itu menunjukkan komitmen ‘how far you want to go to make sure it’s been done’.

“Kerajaan Negeri juga mahu memastikan bahawa pembangunan ini tidak meninggalkan rakyat di belakang.

“Infrastruktur asas sedang dilengkapkan, pelabuhan Kemaman juga sedang dinaik taraf dan institusi pendidikan kita bersedia melahirkan tenaga kerja mahir untuk mengisi peluang pekerjaan baharu.

“Dengan sokongan struktur tadbir urus TOD di setiap daerah yang terlibat, kita akan memastikan pembangunan berjalan dengan tersusun, bertanggungjawab dan berpaksikan kepentingan rakyat,” jelasnya.