KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh komitmen memartabatkan pendidikan negeri apabila meraikan seramai 273 pelajar cemerlang daripada rangkaian Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu (SMANT) menerusi Majlis Hafl Al-Takrim 2025, sebuah acara tahunan yang menghargai kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan utama negara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed, berkata penganjuran majlis tersebut menzahirkan keprihatinan kerajaan dalam menghargai usaha pelajar, ibu bapa serta sekolah-sekolah agama negeri yang konsisten mencapai prestasi membanggakan.
“Pagi ini kita berjaya menganjurkan satu program yang diaturkan oleh kerajaan negeri di bawah EXCO Pendidikan, iaitu program Hafl Al-Takrim untuk Pelajar Cemerlang dalam Peperiksaan Awam 2024.
“Anugerah ini diadakan setiap tahun melibatkan pelajar SPM, STPM dan STAM di mana mereka yang terpilih adalah yang benar-benar cemerlang,” katanya seusai Majlis Perasmian Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STPM, dan STAM 2024, SMANT Tahun 2025, di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehawal Agama Terengganu (JHEAT), semalam.
Turut Hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Mohd Zaini Mohd Nor; Timbalan Pengarah (Akademik) Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Rosdi Mat Rani.

Menurut Ahmad Shah, seramai 273 penerima diraikan tahun ini, termasuk tiga pelajar yang menerima Anugerah Khas EXCO Pendidikan Terengganu, sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan akademik mereka.
Beliau menegaskan bahawa selain menghargai pencapaian pelajar, kerajaan negeri turut memberikan perhatian kepada kejayaan sekolah-sekolah SMANT yang menunjukkan peningkatan ketara dari segi prestasi akademik dan Gred Purata Sekolah (GPS).
Ujarnya, pengiktirafan kepada sekolah turut diberikan sebagai dorongan untuk terus memperkukuh mutu pendidikan Islam negeri.
Kerajaan Terengganu memperuntukkan hampir RM50,000 bagi penganjuran majlis tersebut, yang menurut beliau, membuktikan keseriusan kerajaan dalam memperkasa sistem pendidikan negeri dan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada pelajar terbaik.
Tiga penerima Anugerah Khas EXCO Pendidikan Terengganu masing-masing memperoleh 10 Mumtaz STAM 2024, iaitu Mohd Hafizuddin Mohd Madhan (SMIDI Besut), Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan (SMA Atas Sultan Zainal Abidin) dan Wan Muhammad Fakrullah Wan Baharuddin (SMA Maarif Besut).
Kesemua penerima membawa pulang sebuah komputer riba, wang tunai RM1,000, plug dan sijil penghargaan.






