KUALA NERUS – Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Masjid Kampung Pulau Redang bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang besar yang melanda sejak malam Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, orang ramai dinasihatkan agar terus peka terhadap perkembangan cuaca dan bersiap sedia berpindah sekiranya diarahkan.
“Amaran hujan berterusan telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan diramalkan berterusan sehingga 24 November 2025. Saya menyeru semua pihak agar berdoa supaya musibah ini segera berakhir dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan.
“Saya juga telah berhubung dengan pihak JPKK Pulau Redang dan meminta mereka memantau situasi dari semasa ke semasa serta mengambil tindakan segera jika perlu,” katanya.
“PPS tersebut mula dibuka pagi semalam dan kini menempatkan seramai 264 mangsa daripada 87 keluarga yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook disini hari ni.
Menurut beliau, pembukaan PPS ini merupakan langkah awal bagi memastikan keselamatan penduduk, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir.





