Home Berita PAS Terengganu

‘Khujuh Fun Walk’ Panas Dalam Kesejukan Tarik Lebih 1300 Peserta

1
SHARE

BESUT — Program Khujah Fun Walk 2025 berjaya menarik lebih 1,300 peserta meskipun berlangsung dalam keadaan hujan lebat, sekali gus membuktikan sambutan tinggi masyarakat terhadap aktiviti rekreasi yang dianjurkan Ameerah Besut.

Pengarah program, Bariah Rosmawadi, berkata penganjuran tersebut bertujuan memperkenalkan Bukit Bubus sebagai lokasi tarikan baharu kepada penduduk Besut dan kawasan luar yang mungkin belum mengetahui keunikan destinasi itu.

“Objektif utama kami adalah untuk memperkenalkan Bukit Bubus kepada masyarakat. Kawasan ini sebenarnya cantik dan mempunyai potensi besar terutama untuk sukan paragliding, namun masih belum meluas kepada penduduk luar,” jelasnya ketika ditemui pihak media selepas program, di Bukit Bubus, semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa program kali ini buat pertama kali menggunakan jalan baharu siap sebagai laluan rasmi Fun Walk, yang turut memudahkan pergerakan peserta.

Bariah Rosmawadi, bertudung ‘pink

“Alhamdulillah, dengan adanya jalan baharu ini, kita dapat menggunakannya sebagai laluan Fun Walk. Terima kasih kepada semua penaja yang menjayakan program,” ujarnya.

Menurut Bariah, sasaran utama program adalah wanita muda berusia 18 hingga 40 tahun, namun penyertaan turut dibuka kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami sangat berbesar hati apabila ada ramai yang berminat. Sambutan ini menunjukkan program sebegini dekat dengan masyarakat,” ujar beliau.

Bariah turut mengatakan bahawa pihaknya sudah merancang kemungkinan untuk menganjurkan Khujah Fun Walk 2.0, dengan sasaran menjadikannya sebagai acara tahunan Ameerah Besut.

“Insya-Allah bukan kali terakhir. Jika branding semakin kukuh, kita mahu jadikan Fun Walk sebagai acara tahunan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji NorKhuzaini, menyifatkan Khujah Fun Walk sebagai pengalaman baharu yang memberi ruang penambahbaikan untuk program pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, satu pengalaman yang mungkin tidak disangka oleh urusetia.

“Walaupun hujan lebat, program berjalan dengan baik. Kita akan lihat apa yang boleh ditambah baik untuk penganjuran seterusnya,” tambah beliau.